Umno didakwa edar borang ahli di UPM
Penyokong Umno hari ini dituduh mengedarkan borang keahlian kepada sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), lebih seminggu sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke kampus itu esok.
Selain menganugerahkan sijil piawaian antarabangsa ISO 9002 kepada Fakulti Veterinar, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dijadualkan menyampaikan satu ucapan kepada pemimpin-pemimpin pelajar.
Menurut sumber, pada minggu lepas beberapa pelajar yang dipercayai berjaya dipengaruhi Umno mengedarkan borang-borang asal keahlian parti itu kepada kira-kira 100 pelajar di Fakulti Pendidikan.
Pelajar yang mengisi borang itu didakwa "senang mendapat pekerjaan" dan tidak perlu membayar yuran tahunan keahlian.
Mereka juga dijadualkan mengadakan satu pertemuan ketika majlis berbuka puasa di sebuah hotel berdekatan universiti itu pada 19 Disember depan.
Pelajar fakulti-fakulti lain tidak dapat disahkan sama ada menerima borang tersebut. Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan borang-borang Umno turut diedarkan di beberapa kolej kediaman.
Pelajar-pelajar di beberapa kolej kediaman universiti itu semalam dibawa ke masjid Putrajaya untuk mendengar ucapan Dr Mahathir tentang isu-isu politik semasa. Dalam majlis anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu, pemimpin negara itu dilaporkan banyak mendedahkan keburukan pembangkang khususnya PAS [[#1]PM burukkan PAS depan pelajar universiti,[/#] 14 Dis]
Kumpulan pelajar berkenaan dibawa dengan bas-bas universiti ke pertemuan itu yang diadakan selama lima jam, termasuk aturcara berbuka puasa dan bersembahyang terawih, sehingga 11 malam tadi.
Pengedaran borang Umno dipercayai digerakkan oleh seorang pemimpin parti itu yang bertaraf "datuk" ketika satu perjumpaan berbuka puasa di sebuah masjid di Kuala Lumpur 3 Disember lalu.
Menurut sumber, "datuk" itu juga memaklumkan kepada pelajar bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu akan meluluskan sebuah organisasi baru pelajar yang dikenali "Persatuan Nasionalis Melayu Muda" (PNMM).
Soalan 'ditapis'
Jika didaftarkan secara rasmi, inilah kali pertama badan seumpama itu ditubuhkan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Malaysiakini, difahamkan satu kumpulan kecil pelajar yang bakal memimpin PNMM bermesyuarat malam tadi. Bagaimanapun butiran pertemuan itu gagal diperolehi.
Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang pelajar terlibat dengan parti politik kecuali dengan keizinan bertulis Naib Canselor. Jika didapati bersalah melanggar Sekyen 15 akta ini, seseorang pelajar boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Selain pensyarah dan kakitangan pentadbiran, pemimpin-pemimpin pelajar telah menerima kad jemputan untuk menghadiri pertemuan dan sesi dialog dengan Perdana Menteri di Panggung Percubaan Dewan Besar bermula jam 11 hingga 12.30 pagi.
Malaysiakini difahamkan HEP universiti itu telah "menapis" soalan-soalan yang bakal diutarakan kepada Presiden Umno itu.
Dr Mahathir dijadualkan menunaikan sembahyang Jumaat di masjid UPM selepas acara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.