Most Read
Most Commented
Read more like this

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan pelantikan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Ainum Mohd Saaid sebagai Peguam Negara wanita yang pertama bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Jan tahun depan.

Menurut sumber agensi berita Bernama hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berkenan membuat pelantikan itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ainum, 54, merupakan wanita pertama menyandang jawatan penting itu dan menggantikan Tan Sri Mohtar Abdullah, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Penggubal Undang-undang Parlimen iaitu tempat ketiga tertinggi di Jabatan Peguam Negara selepas Peguam Negara dan Peguamcara Negara.

Peguam Negara bertindak selaku Pendakwa Raya, mempunyai kuasa antara lain untuk membuat keputusan mengenai pendakwaan. Peguam Negara juga bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ainum, yang dikatakan sebagai seorang yang 'low profile', dilahirkan pada 14 Feb, 1946. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari University of Singapore dan Sarjana Undang-undang dari Vrije Universitat, Brussels, Belgium. Beliau pernah berkhidmat selama 26 tahun dari tahun 1970 dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebelum bersara pilihan pada 1996.

Ketika dihubungi pejabat beliau di Suruhanjaya Sekuriti tengah hari tadi, Ainum dimaklumkan tidak bersedia untuk mengulas lanjut pelantikan tersebut.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS