story image
mk-logo
Berita
Redzuan: Boikot produk bukan Muslim tak bagus untuk ekonomi negara

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyifatkan kempen mengutamakan produk Muslim tidak bagus untuk ekonomi negara.

Beliau berkata, kempen yang memboikot barangan keluaran bukan Islam tidak sepatutnya berlaku di negara yang berbilang kaum.

"(Kempen) tidak menjejaskan usahawan, barangan halal di utara misalnya, 70 peratus di keluarkan oleh bukan Muslim. Jadi, ia tidak ada masalah.

"Tak kena dengan kempen, kalau dah halal cukuplah, kalau dapat sijil halal Jakim sudah cukup untuk menjual, tak perlu boikot kerana ia tidak konstruktif.

"Kita tak boleh menghalang kempen di media sosial," katanya selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, petang ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan, Ir Amiruddin Hamzah.

Kebelakangan ini di media sosial aktif digerakkan kempen membeli barangan yang dikeluarkan oleh masyarakat Muslim di negara ini.

Selain itu turut aktif digerakkan oleh segelintir NGO kempen memboikot barangan yang dikeluarkan oleh bukan Islam.

Kempen itu diadakan ekoran beberapa isu sensitif seperti tulisan Jawi yang menyaksikan sebilangan bukan Islam membantah pelaksanaannya di sekolah venekular

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata tiada lagi Konvensyen Usahawan Bumiputera yang bersifat eksklusif untuk satu kaum saja.

Sebaliknya, penganjuran program seperti itu selepas ini lebih bersifat inklusif untuk usahawan semua kaum di negara ini.

"Konvensyen yang sama, tapi kita mahu lebih inklusif dengan hala tuju yang jelas. Tak payahlah lagi kita adakan Konvensyen Usahawan Bumiputera.

"Kalau perlu (Konvensyen Usahawan Bumiputera), kita akan adakan sekali lagi," katanya lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata Persatuan Institusi Perbankan Kewangan Islam (Aibim) yang diterajui oleh 26 institusi perbankan menyediakan RM20 bilion pinjaman kepada perusahaan kecil sederhana (PKS).

Katanya, 26 institusi perbankan itu bersetuju untuk memberi sokongan kepada implementasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS