Tolak 'petisyen rambut' pelajar, warga maya kecam Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengundang bidasan di kalangan warga maya susulan tindakannya yang menolak petisyen dalam talian seorang pelajar tingkatan 1 yang mencadangkan agar pelajar sekolah lelaki dibenarkan berambut panjang
Syed Saddiq dalam ciapannya malam tadi sebaliknya berkata pelajar berkenaan, Darrell James, seharusnya fokus pada pengajiannya.
“Adik, saya yang berumur 26 tahun pun masih ditegur oleh (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kalau rambut panjang.
“Fokus pada pengajian kamu. Belajar pandai-pandai dan jadilah insan yang mengharumkan nama negara.
“Bila dah berjaya nanti, nak rambut ala (ikon reggae) “Bob Marley” pun orang tetap suka,” kata menteri itu.
Walau bagaimanapun, ciapannya itu tidak diterima dengan baik oleh semua.
Aktivis pemuda dan pengasas pergerakan Undi18, Nur Qyira Yusri, berkata jawapan Syed Saddiq adalah "benar-benar mengecewakan".
"Undi18 juga sekadar petisyen dalam talian sahaja. Pelajar berhak mempunyai suara sendiri dan kita perlu mendengar mereka. Hujahnya tidak terlalu dangkal dan ia difikirkan dengan baik.
"Bettul, ini bukanlah isu hidup atau mati (berrambut panjang) tetapi cara ke depan untuk mengiktiraf kegigihan dan kemahiran berfikir secara kritis mereka.
"Dalam sistem di mana mereka diajar untuk tidak menyoal, sebagai menteri apa yang tidak patut kamu lakukan adalah menolaknya begitu sahaja," katanya.
Qyira berkata apabila Undi18 pertama kali dilancarkan pada 2016, tidak ada ahli politik mengambil perhatian mengenainya sehingga Syed Saddiq menyokong dan memberikannya tarikan.
Ini kemudian disusuli dengan Parlimen akhirnya meminda Perlembagaan Persekutuan pada bulan Julai, untuk menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

