Kerajaan akan membuat beberapa pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi memberi ruang kepada pelajar untuk bergerak lebih bebas.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, beberapa pindaan kecil melibatkan peraturan universiti akan dibuat, sesuai dengan keadaan semasa.

"Namun kebebasan yang diberikan itu bukan sampai ke tahap merosakkan pelajar dan imej negara seperti mengadakan aktiviti demonstrasi yang keterlaluan," katanya.

Beliau juga menegaskan, Auku tidak akan dimansuhkan kerana akta itu berkesan untuk mengawal pelajar pusat pengajian tinggi daripada kegiatan yang tidak diingini.

Ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, fokus kementeriannya ialah untuk menghasilkan kecemerlangan akademik dan pengajian, maka Auku diperlukan untuk memastikan pelajar menumpukan perhatian pada pelajaran.

Perlantikan Nordin Kardi

Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Mertajam, Chong Eng kemudian mencelah sambil berkata, pelajar di universiti Singapura lebih bebas sehingga membolehkan pelajar dan pensyarahnya menempa pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Ketika menjawab soalan Chong Eng itu, Mustapa berkata, ramai juga pensyarah di universiti tempatan yang berjaya dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub, berhubung perlantikan Datuk Dr Nordin Kardi sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Mustapa berkata, Dr Nordin memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kementerian.

Salahuddin dalam pertanyaannya mempertikaikan perlantikan Dr Nordin kerana dikatakan tidak mempunyai kelayakan mencukupi untuk memegang jawatan Naib Canselor.

Ketua pembangkang Lim Kit Siang pula bertanya mengapa Laporan Zahid mengenai prestasi pusat pengajian tinggi tempatan belum diumumkan sedangkan ia sudah disiapkan sembilan bulan lalu.

Mustapa berkata, beliau baru menerima laporan tersebut minggu lalu dan akan mengumumkannya apabila tiba masanya.