Malaysiakini
BERITA

Merdeka Tok Ayah buah tangan Hadi untuk rakyat Malaysia

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Ogs 2019, 4:59 pagi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencuri tumpuan apabila tampil dalam satu video pendek menceritakan tentang maksud kemerdekaan di hadapan sekumpulan kanak-kanak.

Video selama lebih 3 minit itu menampilkan Abdul Hadi duduk sambil menjawab mesra pertanyaan kanak-kanak berkenaan mengenai erti 'merdeka'.

"Tok Ayah, Tok Ayah, apa itu merdeka?" tanya seorang kanak-kanak perempuan ketika melihat laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman di kaca televisyen.

"Merdeka tu kita berjaya halau Orang Putih yang memerintah kita. Orang Putih datang dengan senapang, dengan senjata, orang kita lawan. Ada yang mati, mati.

"Orang alim kena tangkap. Orang yang kuat agama jadi ketua, lawan. Mula-mula orang orang Melayu Islam lawan. Kemudian Cina dan India pun lawan juga. Sama-sama lawan.

"Akhirnya mereka tak tahan, bergaduh, mereka setuju tinggalkan negara ini," kata Abdul Hadi yang membahasakan dirinya Tok Ayah.

"Tok ayah, Tok Ayah. Masa Tok Ayah kecil dulu Tok Ayah sambut tak merdeka?" Tanya seorang kanak-kanak lelaki yang lain.

“Ye, sambut sebab kita gembira negara kita selamat, orang putih dah balik.

“Masa tu, Tok Ayah sekolah rendah lagi umur 10 tahun,” jawab Abdul Hadi.

Menjawab satu lagi soalan, Abdul Hadi memberitahu bahawa rakyat Malaysia harus menghormati bendera Malaysia.

“Orang zaman dulu sanggup mati pertahankan bendera ini. Bendera ini satu benda mulia pada kita orang Islam pun begitu.

“Nabi kita pun berjuang ada bendera. Bendera ini tanda,” kata anggota parlimen Marang itu.

Seorang kanak-kanak lain kemudian mencelah dengan mengatakan mereka ada diberikan kerja sekolah sempena hari merdeka.

"Nak buat apa eh," tanya kanak-kanak berkenaan.

"Tok ayah ada idea," kata Hadi sambil menunjuk ke arah kanvas, berus dan warna lukisan.

Kanak-kanak berkenaan kemudian dilihat mewarnakan tangan mereka sebelum melekapnya di atas kanvas sambil dibantu Abdul Hadi.

Presiden PAS itu kemudian menulis perkataan merdeka dalam bahasa Jawi di tengah-tengah hasil seni itu.

Dalam video tersebut Abdul Hadi mengingatkan pesanan Nabi Muhammad bahawa anak-anak adalah seperti kain putih dan ibu-bapa harus mencorakkan mereka termasuk dalam memahami erti kemerdekaan.

“Sekarang ni sampai setengah abad kita merdeka dah. Daripada Malaysia Timur, Malaysia Barat.

“Kita gabung semua sekali berbelas buah negeri dan berbagai kaum, berbagai agama. Islam sebagai agama persekutuan dan kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan aman. Keadaan ini perlu dikekalkan.

“Pertahankan agama, pertahankan perpaduan dan pertahankan kemerdekaan daripada saya Abdul Hadi bin Haji Awang, presiden PAS,” katanya.

Di akhir video berkenaan dipaparkan Abdul Hadi bersama-sama kanak-kanak berkenaan mengibarkan bendera Jalur Gemilang berlatarbelakangkan pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.