Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mengenang coklat 20sen Yasmin Ahmad di Hari Merdeka

ULASAN | Sepuluh tahun lepas, ada satu filem pendek yang diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad, berjudul Chocolate yang penggambarannya di sebuah kedai runcit.

Pada babak awal, dipaparkan seorang budak lelaki Cina dileteri emaknya kerana tak mahu mengambil peluang biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

“Tanah ini untuk puak mereka saja, bukan kita,” omel ibunya, sebelum perbualan mereka terputus apabila budak lelaki itu ke kaunter kerana ada pelanggan mahu membeli barang.

Pelanggannya seorang perempuan Melayu, berbaju seragam sekolah, mahu membeli bateri AA. Empat biji, harganya RM2.00.

Sepanjang perbualan antara budak lelaki Cina dan budak perempuan Melayu itu, kita meramal sebuah persahabatan baru antara dua kaum hampir pasti bakal terjalin. Malangnya ia tidak kesampaian.

Sebelum membayar, budak perempuan itu menggapai sebiji coklat, 20 sen harganya. Tapi, dia hanya ada 15 sen. Tak cukup 5 sen.

Tiba-tiba kedengaran emak si lelaki menjerit dari belakang kedai, “Hey, bersembang apa lama-lama dengan budak Melayu tu?”

Mendengarkan herdikan ibunya, spontan, lelaki itu meninggikan suaranya kepada budak perempuan itu, “Tak cukup, tak payah belilah!”

Harga persahabatan tak cukup 5 sen

Ketika perempuan itu berjalan keluar dari kedai, dapat dilihat riak kesal di wajah lelaki itu. Harga persahabatan antara dua budak berlainan kaum itu, hanya tidak cukup 5 sen sahaja lagi.

Sepuluh tahun berlalu, saya masih tertanya-tanya, adakah perempuan Melayu itu ada balik ke kedai itu? Jika ada, apakah lelaki itu ada meminta maaf? Jika ada, adakah mereka kini sudah berkawan?

Jika sudah, adakah mereka ada berbincang soal tulisan Jawi di SJK? Atau tentang Zakir Naik? Atau ada bergaduh tentang boikot kedai runcit bukan bumiputera (kedai budak lelaki itulah)?

Entah-entah mereka sudah berkahwin, sama-sama menghadiri perayaan Hari Merdeka di Dataran Putrajaya? Atau hubungan mereka putus setakat itu sahaja? Kerana 5 sen? Atau kerana sebab lain?

Kadang-kala, benda-benda bernilai kecil boleh membeli hal yang besar-besar. Sebegitu juga, hal besar boleh diruntuhkan oleh benda-benda bernilai kecil.

Teringat bangkangan bermati-matian Dong Zong terhadap cadangan pengenalan tulisan Jawi di buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat, yang sepatutnya, - seperti kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik - hanya melibatkan aktivit-aktiviti ringan dan kecil seperti menyambung garis putus-putus aksara Jawi.

Mungkin pembantah di Dong Zong masih ingat imej haiwan dan bunga yang mereka lukis dalam aktiviti sambung titik putus-putus ketika di tadika atau darjah satu dulu, kerana itu barangkali mereka teramat risau aktiviti serupa untuk tulisan Jawi akan melekat dalam kepala pelajar SJK sampai dewasa.

Tapi jika mereka dapat ingat huruf Jawi pun, apa salahnya?

Isu perkauman

Juga ketika struktur ‘rehal’ atas bangunan DBP ingin diturunkan atas faktor keselamatan. Orang melenting, mengatakannya satu tindakan yang mengancam kedudukan Islam - kerana rehal itu sinonim dengan tempat meletak al-Quran.

Biarpun saya tak pernah melihat rehal setebal itu sepanjang hidup saya, isu itu saya kira berpunca daripada kesilapan kecil Dewan Bahasa Pustaka sendiri yang menulis struktur buku itu sebagai ‘rehal’ dalam notisnya yang tular itu.

Mujurlah mereka tak tersilap tulis ‘struktur al-Quran’. Tak dapat dibayangkan apa akan terjadi. Tetapi apalah itu semua jika nak dibandingkan isu Zakir Naik, yang menyebabkan Malaysia begitu bising baru-baru ini.

Kenyataan oleh tetamu yang berasal dari India itu pendek sahaja, tetapi menyebabkan ketidaksenangan dalam kalangan rakan-rakan rakyat India dan Cina kita di sini.

Terbaru, kempen #QuranHour yang sudah lama diadakan itu pun turut menjadi isu. Berpunca daripada kekeliruan yang kecil, dibalas kenyataan ringkas oleh seorang timbalan menteri bagi menjawab kekeliruan, tetapi apabila dilaporkan, tetap dipandang sesetengah pihak sebagai ‘isu perkauman’.

Banyak betul isu dalam sebulan dua ini, disebabkan oleh hal-hal kecil, tetapi menyebabkan kebisingan yang besar dalam negara.

Malah, semalam, wira badminton negara, Lee Chong Wei di Facebooknya turut merayu rakyat agar tidak membiarkan perkara-perkara kecil membunuh keindahan negara ini. “Ini bukan Malaysia yang saya perjuangkan," katanya.

Malang sungguh, kita menyambut hari kemerdekaan dalam perasaan yang tidak enak sesama kita. Masalah disapu dulu ke bawah karpet, tetapi esok lusa, setelah perayaan tamat, bukankah karpet tetap perlu digulung semula?

Kerana itu saya begitu teringatkan Yasmin Ahmad.

Mungkin pengkarya filem, lebih-lebih lagi drama, patut memainkan semula peranan yang dahulunya dimainkan Yasmin dalam membuakkan rasa-rasa perpaduan dalam karyanya.

Berbalik pada filem pendek Chocolate, babak akhir memaparkan coklat 20 sen di atas meja kaca kaunter. Imej itu masih terbayang-bayang di kepala- tanpa perlu berceramah tentang perpaduan, masih sangat bercerita tentangnya.

Saya pernah diberitahu, ambiguity (ketidakjelasan) ialah DNA sebuah puisi. Saya percaya, hal itu turut terpakai untuk hal-hal seni yang lain, termasuk lukisan, dan juga filem.

Tetapi, memandangkan filem atau drama itu produk niaga- justeru perlu dijual- pengkaryalah yang perlu bijak menyelit apa yang mereka ‘mahu beri’, dalam sesuatu yang pelanggan ‘mahu beli’.

Siapalah yang hendak mendengar leteran yang berat dan berjela-jela seperti ceramah panjang? Drama pukul 7 berjudul Suamiku Encik Wartawan pun tak mengapa, asalkan diselitkan niat-niat yang halus sebegitu.

Hanya sesuatu yang halus (subtle), mudah menyentuh program minda separa sedar manusia (subconscious).

Di sinilah terbinanya tabiat (habit) kita- sikap, prejudis dan prasangka yang dibina daripada pemerhatian sejak kecil (daripada ibu bapa terutamanya). Inilah yang menjadi autopilot kepada tindak balas separa sedar kita seharian.

Justeru, di sinilah yang perlu kita sentuh untuk menerapkan kesedaran.

Sepuluh tahun telah berlalu. Di kedai-kedai runcit, mungkin masih boleh dibeli 4 biji bateri AA (cap ayam) dengan harga RM2. Kita masih boleh membeli coklat kecil dengan harga 20 sen.

Tetapi, nilai 5 sen yang tidak cukup dalam filem pendek Yasmin itu, dirasakan sudah berlipat-ganda lebih mahal berbanding dulu. Mungkin kerana inflasi yang melanda jiwa ibu bapa negara Malaysia ini.

Selamat Hari Merdeka.


M FAKHRULL HALIM merupakan wartawan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS