KM: Mengapa ladang babi di Jasin dan Bukit Rambai ditutup
Kerajaan Negeri Melaka menutup ladang ternakan babi di Jasin dan Bukit Rambai kerana ia membabitkan kawasan tadahan air, perindustrian dan perumahan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohamed Ali Rustam.
Kerajaan Negeri Melaka menutup ladang ternakan babi di Jasin dan Bukit Rambai kerana ia membabitkan kawasan tadahan air, perindustrian dan perumahan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohamed Ali Rustam.
Katanya, kawasan ternakan babi di Jasin ditutup kerana ia merupakan merupakan kawasan tadahan air yang membekalkan air bersih untuk penduduk negeri itu.
Bercakap kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini, beliau berkata, ladang tersebut ditutup dua bulan lalu kerana tidak sepatutnya ada ladang ternakan babi di kawasan tersebut.
"Jasin tempat tadahan air, tempat tadahan air ini tempat yang kita minum, tempat ini dilarang memelihara babi, dah selesai dah, kita tutup dua bulan lalu," katanya.
Manakala kawasan Bukit Rambai tidak dibenarkan untuk ternakan babi kerana ia merupakan kawasan perindustrian dan perumahan.
Kerajaan juga katanya, mengarahkan ladang ternakan babi di Bukit Beruang, Alor Gajah ditutup kerana mendatangkan pencemaran kepada pembangunan yang giat dilaksanakan di kawasan terbabit.
"Kawasan Bukit Beruang di Alor Gajah perlu ditutup kerana ia bersebelahan dengan Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka. Waktu makan, sembahyang, berjalan, tidur bau tahi babi, orang Melayu, orang Cina, pelajar complaint (mengadu)," katanya.
Menurut laporan Bernama, Mohd Ali berkata, tindakan menutup ladang ternakan itu dilakukan demi kepentingan rakyat pelbagai kaum di negeri ini tanpa niat untuk menyusahkan penternak terbabit.
Ketua Menteri berkata, kerajaan hanya membenarkan ternakan babi dilakukan di Paya Mengkuang dan Kampung Man Lok, Alor Gajah dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran.
Sehubungan itu, beliau meminta parti pembangkang DAP supaya tidak mempolitikkan isu itu serta membangkitkan sentimen perkauman.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.