Terjemahan Menteri di Jabatan Perdana Datuk Effendi Norwawi tidak menerima sesen pun daripada kerajaan selama 17 bulan menjadi wakil khas pendidikan bertaraf menteri, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Effendi (foto) tidak menerima sebarang ganjaran dan beliau menanggung sendiri kos lawatannya ke luar negara dan juga kos pertadbiran.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur), Mustapa berkata Effendi menjalankan tugasnya untuk negara.

Katanya, khidmat Effendi diperlukan kerana Menteri Pengajian Tinggi ketika itu masih baru dan kepakarannya (Effendi) membantu menaikkan nama universiti tempatan di luar negara dan menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi asing.

Sementara itu, di Dewan Rakyat petang ini, Mustapa menolak dakwaan wujudnya pengaruh politik yang berleluasa dalam universti tempatan dari soal pemilihan naib canselor hinggalah kepada proses kenaikan kakitangan akademiknya.

VC: Calon terbaik dipilih

"Perlantikan kenaikan pangkat pensyarah adalah berdasarkan kepada merit, saya tolak dakwaan wujudnya sebarang pengaruh politik. Tuduhan itu dibuat dengan niat yang jahat," katanya ketika menggulung perbahasan hari ini.

Mengenai cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas untuk melantik naib canselor, Mustapa (foto) berkata proses pemilihannya dijalankan secara bebas.

Katanya, hanya calon yang terbaik dipilih untuk mengisi jawatan tersebut.

Mustapa berkata, kementeriannya juga akan meneliti cadangan supaya umur persaraan pensyarah dilanjutkan daripada 56 tahun sekarang. Berita asal