Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida mahu jawapan Anwar, bukan Saifuddin
Diterbitkan:  Sep 3, 2019 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mahukan jawapan daripada Anwar Ibrahim mengenai permintaan untuk mengadakan rekonsiliasi dalam parti itu.

Oleh sebab itu katanya, surat ditujukan kepada presiden parti dan bukan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail.

"Surat itu dihantar kepada presiden parti, bukan kepada setiausaha agung yang cuma dilantik untuk jawatannya," katanya lapor The Star.

Anggota Parlimen Ampang itu menambah penolakan Saifuddin untuk mengadakan pertemuan antara dua kumpulan dalam PKR - yang dipimpin oleh Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali - "tidak diambilkira”.

"Tidak, tak ada istilah (pertemuan) rekonsiliasi.

"Hadir saja mesyuarat biro politik dan mesyuarat pimpinan pusat, semua hal boleh diselesaikan," kata Saifuddin pada sidang media semalam.

Pada 28 Ogos lalu, Zuraida mendakwa Anwar belum membalas tiga surat yang memohon agar Presiden PKR itu mengadakan pertemuan dengan ahli majlis pimpinan pusat tertentu untuk tujuan 'rekonsiliasi'.

Pada 18 Julai lalu, Zuraida mengakui berlaku perpecahan dalam PKR dan berkata terpulang kepada Anwar untuk memulihkan perselisihan itu susulan klip video seks yang mengaitkan Azmin.

Saifuddin, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata PKR hanya menerima satu surat dan bukannya tiga seperti didakwa Zuraida.

Lihat Komen
ADS