Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen boikot produk bukan Islam tak sihat - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan kempem memboikot barangan bukan Islam sebagai satu langkah yang tidak sihat.

“Kalau mahu promosikan produk halal, itu boleh diterima. Tapi kalau mahu promosikan kempen yang boleh menimbulkan pertengkaran semacam ini, isu-isu antara kaum, ia tak sihat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meyampaikan ucapan dalam Persidangan Antarabangsa tentang Sejarah dan Budaya (ICHCC) kali keenam di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Anwar, sebagai umat Islam, adalah penting untuk mengeluarkan produk yang bagus dan membantu memudahkan umat Islam tetapi dalam masa sama, boleh diterima oleh semua pihak.

“Tetapi, ada juga barang-barang yang diperlukan oleh Muslim, tetapi (dihasilkan oleh orang) Cina, yang boleh digunakan (halal).

“Jadi, konotasi perkauman yang digunakan (dalam kempen-kempen ini), pada saya tak sihat dalam masyarakat berbilang kaum dan bangsa ini,” katanya lagi.

Kebelakangan ini, kempen seperti memboikot barangan bukan Islam dan kempen menyokong produk keluaran Muslim semakin kencang di media sosial.

Kempen itu mengundang kritikan dan sokongan beberapa pihak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkannya hanya menyebabkan kemarahan serta menggesa PAS dan Umno mengecam kempen seumpama itu.

PAS bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah melancarkan kempen itu dan membidas Lim “memainkan sentimen perkauman sempit” dengan dakwaannya.

Setiausaha agungnya pula, Takiyuddin Hassan menyifatkan kempen yang katanya, mengajak pengguna mengutamakan barangan Muslim itu adalah bersifat inklusif dan kempetitif dalam konteks perniagaan.

Sementara itu, disoal pemberita tentang pelan peralihan kuasa yang dikatakan menjejaskan ekonomi dan keyakinan rakyat terhadap PH, Anwar menyifatkan isu itu sebenarnya hanya ditimbulkan sesetengah pihak, sedangkan ia telah ditetapkan.

“Saya tak bimbang. Peralihan kuasa ini perkara yang dah selesai (sudah ditetapkan). (Isu itu) ditimbulkan sesetengah pihak.

“(Kita perlu) fokus pada isu-isu pokok, seperti isu kaum, agama, budaya, kemiskinan, pertubuhan ekonomi, dan keadilan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS