Paling Popular
Terkini

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diimaklumkan bahawa pada 2012, ahli perniagaan berkaitan dengan 1MDB, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, mengarahkan dua bekas pegawai perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk membuka akaun bank luar negara di bawah nama mereka untuk tujuan politik.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin berkata arahan diberikan semasa pertemuannya bersama allahyarham Azlin Alias dengan Low.

Amhari, saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan jenayah 1MDB yang membabitkan Najib, memberi keterangan bahawa dia dan Azlin bimbang akan keselamatan mereka serta keluarga sekiranya menolak arahan itu.

Azlin adalah ketua setiausaha sulit Najib pada ketika itu manakala Amhari melaporkan dirinya kepada beliau.

Menurut keterangan Amhari, Low memberitahu kedua-dua pegawai itu bahawa Najib telah memberikan "restu" berhubung arahan berkenaan.

"Saya tahu dia ada jumpa Datuk Najib sebelum (perjumpaan) ini kerana Low beritahu kami bahawa perkara ini mendapat restu (Najib), dan kami berdua diarahkan untuk membuka akaun.

"Datuk Azlin dan saya faham bahawa restu itu bermaksud lampu hijau dari Datuk Najib," kata Amhariyang membaca dari kenyataan saksi pada hari ke-4 perbicaraan 1MDB.

Amhari, yang pernah bekerja dengan Najib selama 10 tahun sejak 2008, menambah bahawa dia dan Azlin mempunyai kebimbangan dalam mematuhi arahan itu.

Ini kerana Low dilaporkan berkata bahawa akaun itu mungkin digunakan untuk tujuan politik, dan dia (Low) yang akan mengendalikan akaun tersebut.

Beliau berkata pada mesyuarat lain, ahli perniagaan itu cuba menangani kebimbangan mereka dengan berkata bahawa Najib akan melindungi Amhari dan Azlin jika berlaku apa-apa.

"Tetapi Low beri jaminan bahawa kita tidak perlu bimbang dan mempercayainya. Dia juga beritahu kita bahawa 'bos akan jaga'.

"Bos yang dirujuknya ialah Datuk Najib."

Amhari berkata tidak dirinya mahupun Azlin tidak memberi sebarang keputusan kepada Jho Low.

Katanya, mereka juga sudah mengetahui berhubung skandal 1MDB sebelum ia diperkatakan umum.

“Kami berdua takut kerana kemungkinan akaun itu akan digunakan sebagai akaun ‘wang haram’ bagi tujuan menyimpan dana politik Datuk Najib untuk menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum ke-13).

“Saya ada terfikir sekiranya akaun ini untuk tujuan murni, kenapa ia (akaun) perlu dibuka atas nama saya dan dibuat di luar negara selain diuruskan Jho Low?” katanya.

“Walaupun kami diberitahu akaun itu sebagai persediaan tetapi saya tidak mahu membabitkan diri sekiranya digunakan untuk tujuan dana politik,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Walau bagaimanapun, kata saksi itu, Low menjangkakan bahawa mereka akhirnya akan bersetuju dengan rancangan itu atau berdepan risiko tentang keselamatan keluarga, kerjaya dan diri mereka.

Menurut Amhari, Azlin kemudian bersetuju untuk membuka akaun di luar negara atas namanya selepas perjumpaan sulit seterusnya dengan Low, dan dia kemudian terpaksa mengikut keputusan Azlin.

"Selepas Low meninggalkan kami, Datuk Azlin kata kepada saya bahawa kita tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa ikut arahan Low kerana jika tidak, kita mungkin hilang pekerjaan kita.

"Datuk Azlin juga memberitahu jika tidak ikut ia boleh menjadi ancaman kepada kami dan keluarga," katanya.

Pada pertemuan akhir antara mereka bertiga, Amhari Efendi berkata, Jho Low mendesak dan menyakinkan mereka bahawa semua sudah diatur dengan baik dan selamat.

Beliau berkata, akhirnya Azlin bersetuju untuk membuka akaun di luar negara dan beliau (saksi) terpaksa bersetuju dan mengikut keputusan itu.

Amhari berkata Low kemudian membawa mereka ke Singapura untuk membuka akaun di bawah "manipulasi" Jho Low dengan dibantu oleh seorang pegawai Bank BSI yang bernama Yvonne dan seorang lagi pegawai BSI yang namanya tidak dapat diingatinya.

Amhari berkata akaun BSI miliknya berada di bawah kawalan Low sejak ia dibuka.

Saksi itu berkata bahawa dia hanya mendengar tentang akaun itu kira-kira empat tahun kemudian apabila seorang pegawai BSI Switzerland menelefonnya pada awal 2016 untuk bertanya sama ada dia tahu berapa banyak wang yang ditinggalkannya dalam akaun.

Apabila Amhari berkata dia tidak tahu, pegawai itu kemudian memaklumkan kepadanya bahawa dia mempunyai baki lebih AS$ 800,000 dalam akaun berkenaan.

"Saya terkejut kerana saya tidak tahu apa-apa tentang wang itu. Saya kemudian meminta pendapat pegawai mengenai deposit yang dibuat ke dalam akaun itu.

"Pegawai itu hanya beritahu saya bahawa dia akan menghubungi saya lagi."

Amhari memberi keterangan bahawa dia menerima panggilan lain kemudian dari bank itu dan dimaklumkan bahawa hubungannya dengan bank itu akan ditamatkan dan dia terpaksa memindahkan wang dalam akaunnya ke akaun bank lain atau syarikat yang didaftarkan di bawah namanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS