Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat dan ambil tindakan pada Farhash, kata pemimpin PKR
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini meminta lembaga disiplin parti itu tidak bersikap pilih kasih dan mengambil tindakan terhadap Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menurut Zakaria Abdul Hamid, sifat "angkuh" Farhash itu wajar dikekang serta-merta demi menjaga nama baik PKR serta Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan dikeluarkannya hari ini Zakaria mendakwa, bukan sekali dua Farhash melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang.

"Perangai angkuh yang tidak menghormati undang-undang ini wajar dihentikan serta merta kerana menjejas nama baik parti malah presiden sendiri," katanya.

Zakaria yang juga ketua PKR Bera dan dianggap menyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, mengulas kejadian berlaku di sebuah kompleks sukan di Ampang pada 31 Ogos lalu.

Farhash, 37, mendakwa laporan polis yang dibuat itu merujuk kepada adiknya, namun dia tetap bersedia memberikan kerjasama terhadap siasatan kes tersebut.

Dia yang dilantik menjadi pengerusi PKR Perak selepas pemilihan parti baru-baru ini diketahui menjadi antara watak penting dalam pendedahan klip video atas ranjang yang dikaitkan dengan Azmin.

Azmin bagaimanapun menafikan terbabit dalam klip tersebut, sebaliknya menegaskan ia adalah percaturan pihak tertentu untuk memusnahkan kerjaya politiknya.


Baca Farhash temui 'hikmah' dalam lokap


Farhash juga ditahan reman oleh polis pada Julai lalu bagi membantu siasatan kes klip video tersebut.

Zakaria berkata Lembaga Disiplin PKR mesti mengambil tindakan segera bagi membendung masalah seumpama itu berlaku lagi di peringkat lain.

Lebih daripada itu, Zakaria berkata, ia bagi memastikan tiada sesiapa kebal daripada tindakan parti.

"Justeru saya menggesa agar perkara ini disiasat segera oleh lembaga disiplin tanpa pilih kasih dan tindakan tegas perlu diambil demi menjaga maruah serta memastikan setiap anggota parti mengamalkan keperibadian mulia.

"Jika dalam keadaan sekarang ini ia tidak dibendung, saya khuatir ia akan menjadi amalan biasa dan menular ke lebih banyak peringkat lagi, seolah-olah ada kekebalan pada sesetengah pihak untuk melakukan aksi gengsterisme berulang kali dan dilindungi," katanya.

Lihat Komen
ADS