Pasukan petugas khas telah menyiapkan laporan akhir bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 31 Ogos lalu, kata menteri undang-undang Liew Vui Keong.

“Laporan akhir tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet yang dijangka diadakan sebulan daripada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Liew berkata laporan tersebut juga telah dimajukan kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan juga telah diedarkan kepada semua ahli jawatankuasa untuk semakan.

Pada Julai lalu, kabinet bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi pelaksanaan MA63 sejajar janji 40 yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan sama, Liew berkata pasukan petugas khas tersebut akan meneliti dan memahami beberapa perkara:

  • Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam konteks undang-undang semasa.
  • Usaha untuk meningkatkan pemahaman rakyat tentang Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem pendidikan.
  • Pelaksanaan konsep federalisme merentasi tiga wilayah - Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
  • Hak-hak Sabah dan Sarawak untuk sumber asli serta minyak dan gas.
  • Perkara-perkara pentadbiran yang boleh diwakilkan kepada negeri-negeri.
  • Jumlah peruntukan yang ada dalam hak-hak Sabah dan Sarawak; dan
  • Pindaan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan

Pada 17 Disember lalu, mesyuarat pertama berkenaan MA63 telah diadakan dan 21 isu telah diterima oleh jawatankuasa khas kabinet untuk diteliti dan dikaji.

Ia merangkumi 13 tuntutan yang dikenal pasti sebagai isu melibatkan kerajaan Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain adalah tuntutan kerajaan Sabah. 

[Baca berita asal]