Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naik gaji tiada makna tanpa peluang kerja, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kenaikan kadar gaji minimum tidak bermakna sekiranya peluang pekerjaan di negara ini tidak mencukupi.

Bagaimanapun, kata Syed Saddiq, kadar gaji minimum wajar dinaikkan namun ia tidak bermakna had umur persaraan juga perlu dinaikkan sama.

“Kita wajar menaikkan gaji dan memberi tekanan untuk menaikkan gaji tetapi pada masa yang sama jangan naikkan had umur persaraan.

“Kita buat kedua-duanya dan itu merupakan penekanan khususnya kita sebelum ini.

“Gaji minimum RM900 atau pun RM950 dan dalam tempoh setahun dinaikkan kepada RM1,100. Tetapi, perkara ini perlu terus diperhalusi namun kita tak boleh hanya kerana faktor gaji kita terus tingkatkan kadar umur persaraan.

“Sebab walaupun kadar gaji sudah berpatutan tetapi kalau peluang pekerjaan itu tak mencukupi dan lebih penting kalau skim kenaikan pangkat itu tak diberikan kepada anak muda akhirnya terbantut juga,” katanya dalam sidang media di Puchong, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian mengulas tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang menolak kenyataannya bahawa melanjutkan had usia bersara kepada 65 tahun akan menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata kenyataan Syed Saddiq itu tidak masuk akal kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak berkerja kerana gaji rendah ditawarkan sektor swasta dan bukannya kerana peluang pekerjaan sedikit.

Solomon menambah pengangguran generasi muda tiada kaitan dengan saranan untuk melanjutkan had umur persaraan.

Solomon juga menyelar Syed Saddiq dalam isu gaji minimum.

Dalam kenyataan sama Solomon juga turut menyatakan rasa kecewa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menolak mentah-mentah cadangannya itu selain menyeru menimbang semula keputusannya dan meminta kajian terperinci dibuat.

Lihat Komen
ADS