Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Agensi antirasuah ada kuasa mendakwa bukan perkara bagus'

Agensi pencegahan rasuah sebuah negara tidak seharusnya diberi kuasa pendakwaan bagi memastikan semak dan imbang dalam operasinya, kata seorang pakar antirasuah antarabangsa.

Bekas timbalan pesuruhjaya dan ketua operasi Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) Tony Kwok berkata, ini kerana agensi tersebut berkemungkinan tidak bertindak dengan adil jika diberi kuasa itu.

"Agensi antirasuah di Singapura, Hong Kong dan Malaysia hanya menyiasat dan menyerahkan kepada jabatan kehakiman dan peguam negara untuk membuat keputusan berkenaan pendakwaan.

"Kebaikannya ialah akan ada semak dan imbang. Jika anda (ada kedua-dua kuasa) menyiasat dan mendakwa; ketika anda menyiasat, tentulah anda sudah un bersikap," katanya ketika sesi soal jawab di sebuah forum antirasuah di Petaling Jaya, Hari ini.

Maka secara teori, katanya lagi, lebih baik untuk memiliki semak dan imbang dalam menangani rasuah.

Bagaimanapun beliau berkata kuasa pendakwaan boleh diberi kepada agensi antirasuah sesebuah negara jika pihak yang membuat pendakwaan bersikap korup.

Pentadbiran BN sebelum ini berulang kali menolak desakan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) diberi kuasa untuk mendakwa.

Ia menyebabkan beberapa pihak menyifatkan SPRM sebagai agensi "tidak bertaring" dan hanya bertindak terhadap "ikan bilis".

Sementara itu, Kwok juga berkata ketua agensi antirasuah juga tidak sepatutnya dilantik oleh pemimpin negara.

"Jika perdana menteri boleh melantik sesiapa yang dia suka dan membuang ketua agensi antirasuah secara sendiri, bagaimana individu itu boleh bebas?"

Beliau juga mencadangkan agar pelajar universiti diberi sesi khas berkenaan rasuah sebelum tamat pengajian agar lebih memahami isu rasuah dan konflik kepentingan.

"Satu perkara yang kita abai ialah (pendidikan) di universiti. (Jika) mereka (pelajar) tidak tahu apa yang anda maksudkan dengan rasuah dan konflik kepentingan, kita akan berdepan masalah," katanya, sambil mencadangkan satu undang-undang khusus dibuat untuk menangani soal konflik kepentingan.

Lihat Komen
ADS