mk-logo
Berita
Tak harus orang Islam sertai majlis berdoa bersama agama lain - Jakim
Diterbitkan:  Sep 5, 2019 9:43 AM
Dikemaskini: Sep 6, 2019 4:07 AM

Tidak harus untuk orang Islam menyertai atau melibatkan diri dalam sebarang majlis berdoa bersama penganut agama lain, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Jakim berkata pendirian itu dibuat selepas mereka merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2006.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 tidak mengharuskan orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai dengan agama lain," katanya.

Terdahulu Jakim memberitahu pihaknya dihubungi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada 6 Ogos lalu bagi mendapatkan pandangan mengenai program berdoa beramar-ramai membabitkan penganut agama berbeza.

Kata Jakim walaupun orang Islam tidak dibenarkan menyertai acara seumpama itu, larangan berkenaan tidak dikenakan kepada penganut agama lain.

“Bagaimanapun keputusan tersebut tidaklah menghalang mana-mana penganut agama lain untuk menganjur atau terlibat dengan upacara seumpamanya,” katanya.

Semakan Malaysiakini mendapat, pandangan itu ada dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad, pada laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Kata Zulkifli, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 memutuskan orang Islam dilarang terlibat dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh orang bukan Islam.

Turut dilarang, kata beliau, ialah majlis yang membabitkan bacaan doa yang tidak difahami maksudnya oleh orang Islam.

Katanya larangan itu dibuat berdasarkan kepada prinsip sadd al-zara’i iaitu menutup jalan-jalan kerosakan, bagi mengekang fahaman pluralisme agama.

Malaysiakini sudah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy untuk mendapatkan komen beliau berhubung isu berkenaan.

Waythamoorthy ialah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan negara.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini