Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong telah mengadakan sesi dialog bersama pasukan polis berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) petang tadi.

Sesi tersebut dihadiri Petua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) Anis Yusal Yusoff dan Ketua Sekretariat Ketua Polis Negara (IGP) Mohd Azman Ahmad Sapri, selain pegawai kanan polis dari seluruh negara.

Antara isu yang dibangkitkan adalah kebajikan dan kesejahteraan anggota PDRM dan mekanisme pelaksanaan fungsi IPCMC serta isu undang-undang.

Sesi ini merupakan sambungan daripada inisiatif kerajaan untuk mendapat pandangan pihak berkepentingan mengenai RUU tersebut.

Dua sesi terdahulu berkaitan RUU IPCMC bersama pertubuhan masyarakat dan anggota parlimen diadakan pada 6 Ogos dan 15 Ogos lalu.

"Saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada pegawai yang menghadiri sesi hari ini," kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut menteri undang-undang itu, kerajaan mengalu-alukan dan mengambil maklum cadangan dibuat oleh PDRM.

"Sesungguhnya, kerajaan menghargai perkhidmatan dan pengorbanan PDRM demi memastikan keselamatan negara dikekalkan dan dinikmati oleh rakyat.

"Dengan itu, RUU IPCMC akan terus diperbaiki bagi memastikan sifat inklusif, holistik, dan berkesan dalam mempertahankan imej PDRM dan menjaga kebajikan mereka," katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan membentang RUU IPCMC bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai.

RUU ini dijangka akan dibentang bagi bacaan kedua dan ketiga pada minggu pertama persidangan parlimen pada Oktober ini.

RUU dibentang 14 tahun selepas cadangan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) diketuai oleh bekas ketua hakim Mohamed Dzaiddin Abdullah pada tahun 2005 bagi meningkatkan operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia.