Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menggesa supaya kerajaan menutup semua ladang ternakan babi kerana ia menjadi punca dan mengakibatkan pencemaran air.

Presiden Cassa, Datuk Dr Jacob George berkata langkah itu perlu bagi melindungi hak pengguna bagi bekalan air bersih dan melindungi kawasan tadahan air, perindustrian dan perumahan daripada pencemaran yang lebih teruk.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, walaupun langkah itu mungkin dianggap sebagai radikal, ia perlu dilakukan demi menjaga kepentingan penduduk berbilang kaum, sumber dan alam sekitar di Malaysia.

"Penutupan ladang itu dan tindakan segera untuk membersihkan semua kawasan yang terjejas merupakan pilihan pengguna," katanya.

Ladang di Melaka ditutup

Menurut laporan Bernama, Dr Jacob berkata, kajian komprehensif akan menunjukkan ladang babi di negara ini tidak dikendalikan dengan baik dan akibatnya, terlalu banyak kawasan tadahan air dan alam sekitar tercemar sejak empat dekad lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan bahawa ladang ternakan babi di Jasin, Bukit Rambai and Alor Gajah, telah ditutup

Katanya, langkah itu bukan bertujuan untuk menyusahkan penternak babi tetapi untuk melindungi kepentingan masyarakat pelbagai kum di Melaka.

Katanya, kerajaan negeri hanya membenarkan ladang ternakan babi di Paya Mengkuang dan Kampung Man Lok, Alor Gajah.