Ia akan merupakan satu detik yang amat bersejarah bagi Universiti Malaya universiti tertua di negara ini apabila buat pertamanya, ia akan diterajui oleh seorang naib canselor wanita.

Dan wanita yang diberi penghormatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Akreditasi Negara (LAN), Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Shahabudin.

Menurut laporan akhbar The New Straits Times hari ini, beliau akan memegang jawatan tersebut apabila tempoh perkhidmatan Naib Canselor sekarang, Datuk Dr Hashim Yaacob, tamat esok.

Sharifah Hapsah berpengalaman lebih 20 tahun berkhidmat dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), termasuk sebagai presidennya, dan sering memberi pandangan mengenai isu gangguan seksual, poligami, undang-undang keluarga Islam dan rogol.

Timbalan Presiden NCWO, Ramani Gurusamy yang juga kawan baiknya, berkata Sharifah Hapsah memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang berdedikasi.

"Sudah tiba masanya wanita dilantik menjadi naib canselor. Dr Sharifah Hapsah mampu melaksanakan tugas tersebut dengan baik kerana beliau bercampur gaul dengan pelbagai peringkat masyarakat dan sentiasa menghargai pandangan orang lain," katanya.

Sharifah Hapsah adalah seorang profesor pengajian perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 1975 hingga 2002. Beliau kemudiannya berkhidmat di Kementerian Pelajaran dan dipertanggungjawabkan dengan tugas jaminan kualiti di semua pusat pengajian tinggi awam. Pada 1 Januari, beliau dilantik sebatu Ketua Pegawai Eksekutuf LAN.

Sharifah mendirikan rumahtangga dengan Dr Mahmud Mohd Nor, yang juga Presiden Persatuan Penjagaan Kesihatan Mesra Kanak-kanak Malaysia. Mereka dikurniakan dua orang cahayamata.

'Tiga tahun tiga cukup'

Sementara itu, beberapa ahli akademik UM menyuarakan kekecewaan mereka kerana tempoh perkhidmatan Dr Hashim tidak dilanjutkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, Dekan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Dr Mohamad Rom Tamjis berkata beliau tidak faham mengapa ia berlaku sedemikian.

Katanya, jika mereka mengatakan beliau (Dr Hashim) tidak membawa banyak perubahan dan kejayaan di UM, maka tempoh perkhidmatannya sepatutnya dilanjutkan lagi.

Katanya, bila Dr Hasham dilantik sebagai naib canselor, pihaknya menyediakan satu pelan strategik untuk UM dan menurutnya, tempoh tiga tahun pastinya tidak mencukup untuk melaksanakannya.

Sementara itu, akhbar the Star memetik Mohamad sebagai berkata, naib canselor di universiti di Thailand biasanya diberi tempoh perkhidmatan selama enam tahun, malah "sesetengahnya sehingga 12 tahun".

Oleh itu, katanya, Dr Hashim sepatutnya diberi sepenggal lagi supaya beliau dapat meneruskan kerjanya yang dimulakannya tiga tahun lalu.

Seperkara lagi, Mohamad juga bertanya apakah kriteria yang digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam menentukan kelayakan penyandang jawatan naib canselor.

Manakala Pengarah Pusat Pembangunan Keluarga UM, Prof Dr Abd Rahim Abd Rashid berkata, lembaga pengarah UM sepatutnya menyuarakan sokongan mereka terhadap Dr Hashim selaku naib canselor universiti berkenaan.

Katanya, ketiadaan Dr Hashim merupakan satu kehilangan besar di UM kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang berkebolehan dan dihormati.

Dr Hashim dilantik sebagai naib canselor UM pada bulan April 2003, menggantikan Dr Anuar Zaini Md Zain yang juga berkhidmat selama tiga tahun sehaja.