Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Mariah hampir tak dapat tempat di Amanah Puchong
Diterbitkan:  Sep 8, 2019 3:26 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Ketua Wanita Amanah Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud, nyaris tersingkir daripada senarai 15 calon yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan kepemimpinan parti itu di kawasan Puchong hari ini.

Siti Mariah mendapat 52 undi dan berada pada kedudukan agak ke bawah selepas keputusan dibacakan pada pemilihan Amanah Puchong yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya tengah hari tadi.

Menurut sumber, calon-calon yang bertanding tampil dengan dua kumpulan utama, namun pada menjelang pemilihan penyokong Siti Mariah berpecah dua.

"Secara umum kelihatan macam ada tiga set calon yang bertanding," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu bekas Ketua Pemuda Amanah Selangor yang juga calon ketua Pemuda Amanah Nasional, Abbas Azmi, gagal mendapat undi mencukupi bagi menempatkan dirinya dalam kumpulan 15 pemimpin kawasan Puchong.

Abbas juga merupakan penggerak utama kepada kumpulan Pemuda Bangkit yang bersaing dengan grup Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa dalam Amanah.

Amalan mengemukakan set nama calon - atau dilabel secara longgar sebagai cai - didakwa banyak memberi kesan kepada pemilihan Amanah kali ini.


Baca 'Cai' Amanah boleh bawa musibah


Ia juga membawa kepada kalahnya beberapa pemimpin kanan parti itu, termasuk bekas menteri besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin, dan Adun Permatang Pasir yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Bagaimanapun, tidak seperti amalan cai pada parti lain yang disiapkan serta diedarkan secara rahsia, Amanah mengumumkan set pemimpin yang bertanding secara terbuka untuk dinilai ahli parti.

Sumber memberitahu Malaysiakini, nama Siti Mariah juga tidak mendapat sokongan yang signifikan apabila undian untuk memilih ketua Amanah kawasan dibincangkan.

Dalam mesyuarat tersebut, bekas penolong setiausaha Amanah Puchong, Mohd Fauzi Jaafar, mendapat undi tertinggi mengalahkan Siti Mariah serta dua calon lain.

Barisan kepemimpinan baru Amanah Puchong

"Nampaknya orang Puchong memilih calon dari Puchong untuk menjadi ketua," kata sumber tersebut.

Mesyuarat Amanah Puchong itu dirasmikan exco Selangor, Izham Hashim, yang juga Adun Pandan Indah.

Siti Mariah ialah bekas anggota parlimen Kota Raja yang bertanding di DUN Seri Serdang pada PRU tahun lalu.

Lihat Komen
ADS