Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kumpulan pekerja menggesa Kementerian Sumber Manusia meratifikasikan Konvensyen 87, (C87), yang menyentuh tentang kebebasan asas persatuan semua pekerja, termasuk pekerja asing.

Pengerusi Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) N Gopal Krishnan berkata Pakatan Harapan telah mengambil alih kerajaan lebih dari setahun namun tiada sebarang perubahan yang besar berlaku mengenai hak melibatkan pekerja.

"Kami menyeru kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen 87 di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Kebebasan Persatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisasi (1948) dengan secepat mungkin.

"Kita tidak nampak sebarang perubahan besar yang dilakukan (oleh kementerian Sumber Manusia). Setakat ini tiada apa yang kukuh dari pihak mereka," katanya dalam satu sidang media di Hotel Crystal Crown di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Menurut LLRC, gesaan untuk meratifikasikan konvensyen tersebut bertujuan melindungi kumpulan pekerja yang lemah seperti perkerja asing, pekerja kontrak dan wanita.

Bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran yang merupakan sebahagian daripada LLRC pula berkata bahawa satu pertemuan telah dilakukan bersama Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran pada 27 Ogos lalu bagi membincangkan perubahan bagi undang-undang buruh itu, terutamanya berkaitan C87, tetapi menteri tersebut memberitahu bahawa majikan tidak mahukan pelaksanaan konvensyen tersebut.

"MTUC telah memberitahu beliau di satu pertemuan rasmi bahawa terdapat banyak kesatuan (pekerja) tidak bersedia untuk menerima Konvensyen 87 itu.

"Oleh itu, pertemuan ini telah diadakan dengan majoriti daripada kesatuan yang mana kita terima satu resolusi hari ini untuk mengesahkan bahawa kami menyokong Konvensyen 87 dan tidak teragak-agak mengenainya," kata Rajasekaran.

Bagaimanapun, pemimpin LLRC yang juga sebahagian daripada ahli MTUC seakan-akan mengelak apabila ditanya soalan mengenai pemilihan jawatan dalam kongres tersebut.

Difahamkan, ia berikutan terdapat krisis kepimpinan dalam MTUC.

"Seperti yang disebutkan tadi, selain daripada kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan dan orang awam turut terlibat dalam LLRC.

"Selain (daripada itu), kita tidak mahu sentuh mengenai pemilihan MTUC," kata Gopal.

Sementara itu, setiausaha MTUC bahagian Sarawak, Andrew Ho pula mengkritik kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah cadangan umur persaraan ditingkatkan dari 60 ke 65 tahun.

Menurutnya, satu kajian perlu dilakukan dan bukan memberi kenyataan berdasarkan andaian dan bersikap prejudis.

"Prestasi produktiviti kerja boleh berlaku kepada sebarang usia. Seseorang itu boleb menjadi tidak produktif pada usia 20an, 30an, 40an, 50an dan 60an. Dan itu bukan isu faktor usia," katanya.

Lihat Komen
ADS