Bekas Ketua Pengarah Felcra menitis air mata apabila mahkamah membebaskan beliau daripada tuduhan pecah amanah membabitkan RM40 juta wang milik lembaga tersebut sembilan tahun lalu.

Sanak-saudaranya yang membanjiri mahkamah berpelukan sesama sendiri sebagai tanda kesyukuran selepas mendengar keputusan tersebut.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Felcra itu, Datuk Mustapha Juman, 60, daripada tiga tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM40 juta wang milik lembaga itu, sembilan tahun lalu.

Hakim Nursinah Adzmi dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan, tertuduh dan saksi pembelaan serta saksi yang telah dipanggil semula.

Pada 2 Disember 1999, Mustapha didakwa sebagai ketua pengarah yang mempunyai kuasa atas sejumlah wang RM30 juta milik Felcra telah didapati melakukan pecah amanah jenayah atas harta tersebut pada 6 Mei 1997.

Tuduhan kedua pula, Mustapha dituduh melakukan perbuatan yang sama terhadap wang RM5 juta milik badan tersebut pada keesokan harinya, pada 7 Mei tahun yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh melakukan pecah amanah RM5 juta dua hari kemudian iaitu pada 9 Mei 1997.

Tuduhan pilihan

Mustapha dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Pejabat Felcra, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mustapha juga didakwa atas tiga tuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan wang berjumlah RM40 juta itu di antara 6 dan 9 Mei 1997 di tempat yang sama.

Terdahulu Nursinah berkata bahawa ketika memberi keterangan Mustpaha mendakwa tandatangan beliau telah dipalsukan dan tiada sebarang arahan diberikan atas pengeluaran wang RM40 juta.

"Pengarah Kewangan Felcra Zainuddin Ahmad mengatakan bahawa pada 6 Mei 1997 beliau bertemu dan menerima arahan lisan daripada Mustapha supaya mengeluarkan wang sebanyak RM40 juta sebelum 10 Mei 1997 dan beberapa pegawai lain turut hadir ketika itu tetapi dalam keterangan, mereka tidak ingat tentang arahan tersebut.

"Saya dapati keterangan dua saksi pembelaan iaitu Yusri dan Abd Rahman serta diari menyokong keterangan Mustapha berkenaan penyertaan beliau ke Langkawai pada 6 Mei 1997. Oleh itu wujud keraguan tentang pertemuan pada pagi dan arahan lisan Mustapha pada tarikh yang sama," katanya.

Nursinah turut berkata sehingga ke akhir kes pendakwaan gagal menyerahkan beberapa dokumen asal termasuk surat permohonan syarikat Mana Juta untuk wang pendahuluan sebanyak RM40 juta, surat bertarikh 6 Mei 1997 yang ditandatangan oleh tertuduh berkenaan kelulusan permohonan syarikat Mana Juta dan surat pengeluaran wang RM30 juta dari Koperasi Peserta-peserta Felcra Berhad (KPFB) kepada syarikat Mana Juta.

Arahan pembayaran

"Tarikh pada surat telah dibelakangkan selepas timbul masalah kerana pengeluaran wang yang tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah KPFB Holdings dan Kementerian Kewangan".

Nursinah berkata segala tindakan berkenaan pengeluaran cek, arahan dan pembayaran dibuat atas kuasa yang diberikan kepada Zainuddin sebagai pengarah kewangan Felcra, ahli lembaga pengarah KPFB Holdings dan juga mereka yang berkaitan sahaja tanpa melibatkan tertuduh.

"Zainuddin juga lebih arif tentang prosedur pengeluaran dan perkara-perkara yang perlu dipatuhi sebelum pemindahan. Tertuduh tahu mengenai pemindahan RM40 juta itu selepas Oktober 1997 iaitu selepas perkara itu disiasat Badan Pencegah Rasuah iaitu setelah transaksi pemindahan wang selesai.

"Tertuduh juga hanya tahu setelah timbul masalah apabila dimaklumkan Zainuddin yang kemudiannya bertindak mengeluarkan surat kelulusan lindungan daripada pihak perbendaharaan atas segala tindakan yang telah dibuat olehnya berdasarkan Seksyen 8 Akta Felcra," katanya.

Mustapha diwakili peguam Mohd Fouzi Md Zin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Borhan Osman.