Wanita warga emas dakwa dibogel dalam balai polis
Seorang surirumah berusia 60 tahun Cheng Pik Wai mendakwa beliau telah dibogelkan serta kehilangan wangtunai RM200 sewaktu ditahan dalam lokap polis Dang Wangi selama tiga jam awal bulan ini.
Seorang surirumah berusia 60 tahun Cheng Pik Wai mendakwa beliau telah dibogelkan serta kehilangan wangtunai RM200 sewaktu ditahan dalam lokap polis Dang Wangi selama tiga jam awal bulan ini.
Cheng, yang berhijrah dari Taiwan 35 tahun lalu selepas berkahwin dengan rakyat Malaysia, menceritakan pengalamannya itu dalam sidang akhbar di lobi Parlimen pagi ini. Sidang akhbar itu diadakan oleh Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok.
Menurut salinan laporan polisnya di balai polis Jalan Jalan HS Lee, Cheng ditahan di balai polis Dang Wangi pada 11 Mac lalu, berikutan salahfaham yang dia memiliki barangan curi dari sebuah pusat membeli-belah di bandaraya.
Cheng, yang memiliki kerakyatan Malaysia, telah dihantar ke lokap tersebut kira-kira jam 5 petang. Di sana seorang anggota polis wanita yang dikenalpastinya sebagai'Samsiah', telah mengarahkan supaya menyerahkan semua barangannya.
"Pada mulanya, Samsiah menyimpan semua wang syiling yang diambil dari dompet saya ke dalam sebuah plastik beg. Bagaimanapun, apabila dia mengira wang kertas, saya nampak dia mengambil beberapa keping dan meletakkannya dalam laci mejanya.
"Dia kemudian berkata wang tersebut adalah untuk rasuah dan memberitahu saya dalam kantonis 'bei ngo yam cha' (bagi saya untuk minum teh)," kata Cheng dalam laporannya itu.
Samsiah kemudiannya didakwa meminta kad ATM Cheng, nombor pin dan baki simpannya.
"Dia beritahu saya, jika saya tidak memberitahunya, saya akan disuruh ketup ketampi," kata Cheng sambil menambah yang beliau enggan memberitahu maklumat tersebut, tetapi tidak disuruh ketuk ketampi.
Beliau mendakwa, anggota polis wanita tersebut juga telah meminta barang kemasnya.
'Dibogel dan dimalukan'
"Selepas itu, dua lagi anggota polis wanita membawa saya ke sebuah bilik dan membogelkan saya. Kemudian mereka mengarah saya berpusing tiga kali.
"Apabila saya berbuat demikian, mereka mula ketawa. Saya rasa begitu malu sekali," katanya dalam laporan tersebut.
Cheng kemudiannya dibebaskan tanpa dirakam kenyataannya, dengan ikatjamin polis pada kira-kira jam 8 malam apabila suaminya datang ke balai.
Menurutnya, selepas dua anggota polis wanita itu memulangkan barangannya, mereka meminta wang daripadanya dalam kantonis 'bei lui' (beri wang). Cheng berkata, beliau memberi RM10 kepada mereka.
Selepas beredar dari situ, beliau menyedari kira-kira RM200 wangnya telah hilang. Beliau berpatah balik ke balai berkenaan bersama suaminya dan pertengkaran berlaku antara mereka dengan Samsiah.
"Samsiah mahu memulangkan RM10 tetapi suami saya enggan menerimanya. Samsiah kemudiannya menghentak meja di depan kami dan suami saya memberitahunya yang kami akan membuat laporan polis terhadapnya," kata Cheng.
Kes terhadap Cheng kemudiannya digugurkan selepas semua pihak terbabit mencapai persetujuan.
Dalam sidang akhbar hari ini, Cheng mendakwa, beliau juga tidak dibenarkan ke bilik air sewaktu ditahan dan pihak polis juga tidak menyediakan jurubahasa kerana beliau hanya boleh bercakap Mandarin.
Ditanya mengenai pengalamannya itu, Cheng berkata:" Saya sangata takut. Saya seorang wanita tua, mengapa pihak polis melayan saya seperti itu?
"Saya kesejukan dalam lokap dan saya terus menerus menangis tetapi tidak diberi peluang untuk membuat penjelasan," kata Cheng turut ditemani suaminya pagi ini.
Mengapa ia masih berlaku?
Sementara itu, Teresa yang sebelum ini mendedahkan kes seorang wanita muda bogel diarah ketup ketampi ketika dalam tahanan polis, sekali lagi melahirkan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku.
"Mengapa beliau (Cheng) dibogelkan, malah ia bukan kes membabitkan pemilikan dadah. Pihak polis telah memperkenalkan peraturan baru pemeriksaan badan, tetapi mengapa ini masih berlaku," soalnya.
"(Pihak polis) menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), tetapi lihatlah ini masih berlaku," kata Teresa.
Menurutnya, Cheng akan diminta mengenalpasti anggota polis terbabit hari ini. Turut hadir di sidang akhbar itu ialah Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.