Mat Sabu, Liew akrab sepasukan - Setpol menteri
Mohd Azhar Mat Dali, setiausaha politik kepada Mohamad Sabu, menegur pembangkang kerana mencadangkan menteri pertahanan dibayangi timbalannya Liew Chin Tong.
"Saya hanya tersenyum melihat gelagat pemimpin parti lawan yang cuba membawa naratif dan persepsi kononnya anak muda DAP, Liew Chin Tong yang juga timbalan menteri pertahanan lebih menonjol dalam mengangkat dan berwacana tentang polisi pertahanan berbanding Mohamad Sabu.
"Mungkin pihak-pihak ini sudah kekeringan idea untuk mencari silap Mohamad.
"Mungkin juga terlalu naif dalam memahami pembaharuan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dek kerana terlalu sebati dan terkongkong dengan cara regim Umno sebelum ini," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajid Dusuki mempersoalkan, "siapa sebenarnya menteri pertahanan" dan mendakwa Liew "lebih menyerlah dan menonjol dalam berwacana mengenai dasar pertahanan negara.
Asyraf pada hantaran di media sosial turut menyertakan gambar keratan akhbar New Straits Times yang menampilkan wawancara bersama Liew.
Dalam temubual khas itu, timbalan menteri bercakap mengenai Kertas Putih Pertahanan dan cabaran Malaysia dalam persaingan antara kuasa besar Amerika Syarikat dan China serta potensi geografi maritim negara.
Menjelaskan lanjut, Mohd Azhar berkata pentadbiran PH terbuka dengan kepimpinan orang muda dan Liew ditugaskan membantu Kementerian Pertahanan menyiapkan kertas putih berkenaan.
"Sebab itu seawal hari pertama menjalankan tugas timbalan menteri pertahanan, beliau dan Mohamad, telah menjadi satu pasukan yang lebih akrab.
"Mohamad sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam politik, orang lama dalam perjuangan amat bijak menilai dan memilih regu dan pasukan kerja beliau.
"Mohamad sendiri telah memberikan tugas dan peranan khusus kepada Chin Tong khususnya dalam membantu kementerian menyiapkan Kertas Putih Pertahanan," katanya lagi.

