Semua kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) akan memakai ikatan tali hitam di lengan sebagai membantah rancangan syarikat penerbangan itu menghentikan lebih 6,500 kakitanganya menerusi pelan rasionalisasi penerbangan domestik.

Keputusan tersebut diluluskan dalam mesyuarat exco tergempar Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) hari ini.

Menurut kenyataan MASEU, kempen memakai tali hitam itu akan dimulakan oleh pekerja yang bertugas di darat.

" Selain pemakaian ikatan talian hitam, mesyuarat juga meluluskan untuk mengadakan piket sebagai tanda bantahan terhadap rancangan proses pengurangan pekerja oleh pihak kerajaan," kata kenyataan itu.

Kedua-dua tindakan tersebut merupakan pelan fasa pertama iaitu sebahagian daripada pelan tindakan perusahaan yang akan diambil sekiranya rancangan pemberhentikan kakitangan itu tidak dibatalkan.

Tindakan perusahaan

"Kesatuan melalui jawatankuasa yang telah dibentuk, akan merangka pelan tindakan perusahaan ini secara lebih terperinci, termasuk menetapkan tarikh tindakan perusahaan itu," kata MASEU.

Presiden MASEU Alias Aziz ketika dihubungai Bernama berkata tindakan itu akan berkuatkuasa jika rundingan yang dibuat antara pihak kesatuan dengan syarikat dan kerajaan untuk membatalkan rancangan pengurangan pekerja, gagal.

"Sekarang kita sedang berunding dan kecewa dengan keputusan kerajaan kerana memberi kesan kepada ramai pekerja yang bertungkus-lumus membangunkan MAS selama ini," katanya.

Alias berkata, kesatuan bimbang jika pekerja yang tidak mahu menerima skim saraan sukarela (VSS) yang ditawarkan MAS, akan dipaksa berhenti dan dibayar pampasan yang tidak berbaloi.

MAS akan mengurangkan bilangan pesawatnya bagi operasi domestik kepada 21 daripada 40, manakala jumlah kakitangannya dikurangkan daripada 23,000 kepada sekitar 16,500 berikutan rasionalisasi sektor penerbangan domestik yang diumumkan kerajaan Isnin lalu.

Kerajaan bagaimanapun telah memberikan komitmen untuk memberikan sokongan kewangan sebagai pampasan kepada MAS bagi kos yang terbabit dalam penyusunan semula sektor domestiknya.