Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyatuan ummah: PAS rintis jalan betulkan salah faham MCA, MIC
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Langkah PAS merintis perbincangan demi perbincangan dengan MCA dan MIC akan membetulkan banyak salah faham mengenai rancangan penyatuan ummah, kata timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata Tuan Ibrahim, PAS juga akan memastikan rancangan terbaru mereka dan Umno itu tidak akan meminggirkan hak orang bukan Islam di negara ini.

Sebaliknya kata beliau penyatuan ummah diusahakan PAS dan Umno akan menguntungkan semua rakyat.

"PAS ingin memberikan jaminan bahawa agenda penyatuan ummah tidak akan meminggirkan hak-hak orang bukan Islam seperti diajar oleh Islam dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, PAS merintis banyak perbincangan dengan MCA dan MIC sebelum ini agar pelbagai salah faham dapat diperbetulkan. Insya-Allah, penyatuan ummah ini akan menguntungkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas berseteru selama puluhan tahun, PAS dan Umno akan menandatangani dokumen bagi menandakan kerjasama mereka secara rasmi pada 14 Sept ini.

Hubungan kedua-dua parti menjadi erat selepas BN gagal mendapat mandat buat kali pertama untuk terus menjadi kerajaan di negara ini. PAS pula gagal menjadi penentu kuasa (king maker) seperti yang mereka jangkakan sebelum PRU ke-14 itu.


Baca Tema penyatuan ummah akan ditukar, kata Mat Hasan


Untuk rekod, Umno adalah parti paling dominan dalam gabungan BN. Ekoran kemenangan PH pada 9 Mei tahun lalu, hampir semua parti yang ada dalam BN meninggalkan gabungan tersebut.

Bagaimanapun rancangan "penyatuan ummah" Umno dan PAS itu dilaporkan kurang diterima oleh MCA dan MIC - dua parti yang masih bersama Umno dalam BN.

Kata Tuan Ibrahim kerjasama politik - atau hubungan taawun siyasi - PAS dan Umno tidak bersifat perkauman, sebaliknya dibuat atas dasar penyatuan.

Anggota parlimen Kubang Kerian itu juga mendakwa PH menggerakkan propaganda bagi menggambarkan kerjasama tersebut bermotifkan perkauman sempit dan boleh mengundang konflik keharmonian.

"Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad, juga pernah mengatakan pada Julai lalu bahawa bangsa Melayu telah berpecah belah.

"Tindakan membentuk kerjasama PAS dan Umno selepas PRU ke-14 ini ialah untuk mempertautkan semula orang Melayu yang merupakan tunggak politik utama negara dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan," katanya.

Lihat Komen
ADS