Terjemahan Nama menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad dan ahli politik yang sedang meningkat naik Khairy Jamaluddin dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini sewaktu perbahasan hebat mengenai AirAsia dan MAS.

Seorang ahli Parlimen pula bertanya mengapa kerajaan kelihatan seolah-olah menyebelahai syarikat penerbangan tambang murah itu daripada syarikat penerbangan negara MAS.

Nama Khairy (foto) dikaitkan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) pada akhir perbahasan tersebut sewaktu Menteri Pengangkutan Datuk Chan Kong Choy menggulung perbahasan bagi kementeriannya.

"Saya ada mendengar khabar angin bahawa pemegang saham utama AirAsia (didakwa) ada kaitan dengan menantu Perdana Menteri. Bolehkan menteri (berkenaan) memberitahu kita sama ada ianya benar?," soalnya.

Soalan Chong itu tidak disenangi oleh ahli Parlimen kerajaan, yang mendakwa ahli Parlimen DAP itu telah membuat 'tuduhan liar'.

"Berdasarkan kepada struktur ekuiti di sini, saya tidak ada nama-nama pemegang sahaj, saya akan berikan jawapan bertulis. Bagaimanapun, memandangkan AirAsia adalah syarikat senaraian awam, anda boleh mendapatnya dengan mudah," kata Chan.

Ketika penggulungan sebelum itu, beberapa ahli Parlimen BN turut meminta supaya dipastikan ketelusan dalam operasi AirAsia, termasuk mendedahkan para pemegang sahamnya.

Syarikat Malaysia

Ahli Parlimen BN Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang terkenal dengan kelantangannya bersuara, bertanya kepada Chan sama ada AirAsia, sebagai sebuah syarikat swasta, akan jatuh ke tangan pelabur asing pada masa depan.

Dalam jawapannya, Chan berkata: "Mengikut peraturan pelesenan, AirAsia dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia dan oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa ia adalah syarikat Malaysia."

Ketika itu, bekas Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani) mencelah sambil bertanya:

"Mengapa ia kelihatan seolah-olah kerajaan mempertahankan AirAsia? Siapa memilik AirAsia? Jangan pula nanti, anda (Chan) juga ada saham dalam syarikat tersebut?" katanya.

Chan, yang tidak menyenangi soalan tersebut, meminta Mahadzir supaya menarik balik kenyataannya dan Mahadzir berbuat demikian.

Satu tinjuan online mendedahkan bahawa pemegang saham terbesar AirAsia adalah TuneAir Sdn Bhd, yang memiliki 44.8 peratus pegangan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan individu di sebalik syarikat berkenaan. Berita asal