Nazri: Tidak perlu tubuh jabatan kemajuan antara agama
Memandangkan persefahaman antara agama di Malaysia telah berjalan dengan baik, maka kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan jabatan kemajuan antara agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Memandangkan persefahaman antara agama di Malaysia telah berjalan dengan baik, maka kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan jabatan kemajuan antara agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Di samping itu, katanya, kerajaan juga berpandangan bahawa soal agama bukan Islam adalah lebih baik diselesaikan oleh ketua agama masing-masing.
Tambahan pula, katanya kerajaan tidak mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian kerana sejak negara Merdeka, tidak pernah timbul perselisihan akibat agama.
"Apa yang berlaku pada 1969 ialah rusuhan kaum bukan kerana agama," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat malam tadi.
Namun begitu, katanya, kerajaan menyambut baik andainya ada cadangan mengenai mekanisme terbaik dalam meningkatkan persefahaman antara agama di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Cadangan penubuhan Jakam dikemuka oleh Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) semasa perbahasan bagi mengendalikan hal-hal kerohanian penganut bukan Islam, di samping menonjolkan nilai-nilai universal antara agama yang ada di Malaysia.
Menurut laporan Bernamna, dewan kemudiannya melulus usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan dewan akan disambung 3.30 petang ini untuk sesi khas pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.