Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 pemimpin DAP pertahan pendirian agar Zakir dihantar pulang

Dua pemimpin DAP yang disoal siasat oleh pegawai polis dari Bukit Aman berhubung laporan polis yang difailkan Dr Zakir Naik tetap dengan pendirian mereka agar pendakwah itu dihantar pulang ke India.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, yang disoal di pejabatnya di Komtar selama kira-kira empat jam, memberitahu polis bahawa pendakwah itu dilindungi oleh pihak berkuasa walaupun dikehendaki di India atas tuduhan pengubahan wang haram dan berkaitan keganasan.

Zakir menafikan sebarang salah laku dan enggan pulang ke negaranya berikutan kebimbangan beliau tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

"Polis ingin tahu mengapa saya membuat kenyataan terhadap Zakir, jadi saya beritahu mereka," kata Ramasamy ketika dihubungi.

"Saya berdiri teguh dengan kenyataan saya bahawa dia harus dihantar pulang ke India untuk menghadapi tuduhan terhadapnya.

"Saya juga beritahu polis bahawa Zakir (gambar) tidak ikhlas apabila dia memohon maaf kerana mempersoalkan kesetiaan kaum India di Malaysia, dan melabelkan orang Cina sebagai 'tetamu' semasa ucapannya."

Sementara itu, Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy disoal siasat oleh pegawai polis selama tiga jam berhubung artikelnya yang diterbitkan Malaysiakini.

"Saya beritahu mereka artikel yang sama diterbitkan dalam The Malaysian Insight. Polis juga ingin tahu pandangan saya mengenai Zakir.

"Saya beritahu mereka bahawa Penduduk Tetap ini telah menimbulkan perpecahan di negara kita dengan pelbagai ucapannya mengenai isu kaum dan agama.

"Saya juga menegaskan Zakir perlu dihantar ke India jika kita mengamalkan kedaulatan undang-undang yang kita perkatakan," kata Satees, merujuk kepada perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang ditandatangani dengan India pada tahun 2010.

Menurut Satees, beliau juga memberitahu polis bahawa walaupun kerajaan mempunyai pertimbangan politik untuk diambil kira, Zakir masih boleh dihantar ke 13 negara yang didakwanya bersedia menawarkan kewarganegaraan.

Ramasamy dan Satees adalah antara lima individu - bersama Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago dan bekas duta besar, Dennis J Ignatius - yang dinamakan dalam laporan polis Zakir atas dakwaan memfitnah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS