Terjemahan Barisan Bertindak Hak Agama Hindu (Hindraf) menyokong tindakan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok membangkitkan isu-isu yang mencerminkan sentimen masyarakat bukan Islam di negara ini.

Malah, Pengerusinya, P Waytha Moorthy berkata kerajaan sepatutnya memberi pertimbangan serius terhadap perkara yang dibangkitkan oleh Loh itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hindraf, yang mendakwa mewakili 50 pertubuhan Hindu, juga mengkritik Pergerakan Pemuda Umno dan Ketuanya Datuk Hishamuddin Hussein.

Rabu lalu, malaysiakini melaporkan, kira-kira 50 ahli Pemuda Umno bahagian Kelana Jaya telah mengemukakan surat bantahan kepada Loh (foto) berhubung ucapannya di Parlimen itu, di pejabatnya pada malam 15 Mac lalu.

Ahli Pemuda Umno yang hadir itu turut membawa kamera video untuk merakamkan pertemuan itu di mana Loh diminta membalas surat tersebut atau "berdepan dengan tindakan".

Rabu lalu, Hishamuddin, ketika mengulas perkara tersebut, menggesa supaya perbincangan mengenai agama dilakukan secara tertutup.

Baru-baru ini, dalam ucapannya di Parlimen, Loh telah menyentuh mengenai isu ketidakseimbangan dalam buku teks sejarah, panduan orang Islam berdoa dan masalah yang dihadapi bukan Islam berhubung tempat ibadat mereka.

'Ulasan semberono'

Sementara itu, Waytha Moorthy menyifatkan tindak-tanduk ahli Pemuda Umno bahagian Kelana Jaya itu sebagai 'agresif' manakala ulasan Hishamuddin itu pula disifatkannya sebagai 'semberono'.

Katanya, tindakan menghantar surat bantahan tersebut merupak satu tindakan provokatif untuk menyekat kebebasan bersuara.

Menurutnya, jika ahli-ahli politik seumpama itu terus memegang jawatan, maka negara akan ketinggalan dan akan lahir satu budaya pemikiran kuno.

Waytha Moorthy berkata, kenyataan Hishammuddin itu mencerminkan bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai kemampuan daya fikiran untuk berbincang secara matang mengenai soal agama.

"Kami berpandangan bahawa (penyerahan) surat bantahan tersebut dan 'sokongan secara diam' Hishamuddin itu adalah satu tindakan sengaja untuk menutup pendedahan mengenai kebenaran dan kebebasan bersuara dan daripada mempersoalkan kerajaan," katanya.

Oleh itu, Hindraf menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbang secara serius cadangan Loh itu dan pada masa yang sama, menasihatkan pergerakan Pemuda Umno supaya bertindak secara 'matang dan demokratik'. Berita asal