Malaysiakini
BERITA

Pemimpin Malaysia rakam takziah atas pemergian BJ Habibie

Bernama

Diterbitkan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia dan anggota keluarga Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie, atas kematian bekas presiden republik itu.

Ucapan sama turut diluahkan beberapa pemimpin lain termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri kabinet melalui platform Twitter dan Facebook.

BJ Habibie, 83, dilaporkan meninggal dunia berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Dr Mahathir menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah kepada keluarga serta seluruh warga Indonesia di atas pulangnya ke rahmatullah Bapak BJ Habibie.

“Sesungguhnya pemergiannya satu kehilangan besar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah,” kata perdana menteri.

Dr Wan Azizah pula menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh negarawan yang mengangkat agenda reformasi dalam arus pemerintahannya.

“Belasungkawa di atas pemergian Bapak Bacharuddin Jusuf Habibie, mantan Presiden Republik Indonesia yang telah kembali mengadap Khaliknya," katanya mengenai BJ Habibie, yang merupakan presiden Indonesia ketiga menggantikan Presiden Soeharto, dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.

“Antara kata-kata nasihat Allahyarham adalah, 'Kalau bukan anak bangsa ini yang membangun bangsanya, siapa lagi Jangan saudara mengharapkan orang lain yang datang membangun bangsa kita'," kata Dr Wan Azizah.

“Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan mereka yang beriman. Al Fatihah,” katanya.

Antara menteri kabinet yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Amat berdukacita atas pemergian Bapak Bacharuddin Jusuf Habibie, Presiden Republik Indonesia ke-3 yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Semoga almarhum mendapat husnul khatimah dan ditempatkan di kalangan para syuhada. Ameen,” katanya.

Perasaan sedih dan ucapan takziah turut dizahirkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anak lelaki Allahyarham, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan berkata bekas presiden itu meninggal dunia pada pukul 6.01 petang waktu Indonesia Barat selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 Sept lepas.

Pada Mac 2018, BJ Habibie turut dilaporkan menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.