Malaysiakini BERITA

Siti Kasim saman Jawi

Hidir Reduan Abdul Rashid  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Peguam Siti Zabedah Kasim menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan 18 lagi pihak.

Dia mendakwa pihak itu membuat tangkapan secara salah dan penahanan yang tidak mengikut undang-undang semasa serbuan terhadap acara tertutup golongan transgender di Kuala Lumpur.

Writ saman itu difailkan oleh tetuan Messrs Saha and Associates di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu.

Mahkamah tinggi Kuala Lumpur pada 13 Jun 2017 mengarahkan Jawi memberikan butiran berkaitan pegawainya yang terlibat menahan Siti dalam acara itu.

Menurut Siti lagi, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

"Di premis itu, plaintif ditahan secara tidak sah selama empat jam.

"Berdasarkan alasan yang dinyatakan di atas, plaintif telah mengalami kerugian dan kerosakan," katanya.

Jelasnya, dia mengalami kejutan, terseksa jiwa, penderitaan dan penghinaan akibat daripada penahanan tersebut.

Menteri JPM Mujahid turut disaman

Selain Jawi dan beberapa orang lagi, writ saman itu juga menamakan 15 kakitangan yang berkaitan dengan Jawi sebagai defendan.

Mereka ialah Ketua Pegawai Penguatkuasa Wilayah Persekutuan, diikuti oleh 14 pegawai penguatkuasa Jawi; Akmal Nadzim Abdullah, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, Farah Wahida Zulkiflee, Ruzaimie Mamat, Mohd Hasmizi Mohd Hassan, Mohd Shahrizan Yaacob, Mohd Khairuddin Mohd Noor, Rosyaimi Affendi Ruslan, Ahmad Naziz Lahori, Mohammad Izehar Md Amin, Mohd Faizal Mustapha, Mohd Fikri Abu Mansor, Mohd Faizal Roslan, dan Mohamad Bukhori Ahmad.

Tiga lagi defendan adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dan kerajaan Malaysia.

Siti juga mendakwa defendan telah melakukan misfeasans pejabat awam dan menahannya secara salah serta melanggar hak kebebasan asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Siti berkata dia kemudian tertakluk kepada penangkapan salah apabila Akmal dan defendan kedua yang dinamakan Siti Nor Jihan menahannya walaupun dia didakwa tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dia hanya hadir di majlis itu sebagai peguam kepada penganjur, Ira Sophia.

Semua 19 defendan ini, kata Siti tidak mempunyai bidang kuasa dan/ atau kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, berhubung dengan acara transgender itu.

Siti turut mendakwa penahanan selama empat jam itu menyalahi hak kebebasan asasinya yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Plaintif tidak dimaklumkan tentang apa kesalahan di bawah akta itu yang telah dilakukannya atau disyaki telah dilakukannya. Ini bertentangan dengan Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perkara 5 (3) menyatakan bahawa sebaik sahaja ditangkap, seseorang itu hendaklah dimaklumkan alasan penangkapannya dan perlu dibenarkan untuk berunding serta dibela oleh pengamal undang-undang yang dipilihnya.

Siti mendakwa 14 pegawai penguatkuasa Jawi itu telah menyalahgunakan jawatan mereka apabila melakukan penangkapan yang salah dan melakukan pengurungan yang melanggar undang-undang terhadapnya.

[Baca berita asal]