BERITA Malaysiakini

DAP Perak retak, Leow gesa Nga letak jawatan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perselisihan DAP Perak kelihatan semakin meruncing apabila dua pemimpinnya meletak jawatan dalam parti semalam berhubung pertikaian melibatkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Nga berkata pertengkaran kecil antaranya dengan bekas timbalan bendahari Leong Cheok Keng dan penolong setiausaha Leow Thye Yih akan diselesaikan secara dalaman dan mengambil tanggung jawab susulan pertikaian tersebut.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas keprihatinan mereka, ini urusan dalaman parti.

"Kami akan menyelesaikannya melalui saluran dalaman.

"Saya sendiri akan mengambil tanggung jawab, selagi tidak membawa mudarat kepada parti," katanya dipetik Sin Chew Daily.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa DAP Perak berkata Leong dan Leow telah membuat dakwaan tidak berasas yang tidak munasabah.

Leow pula tetap bertegas dengan pendiriannya dan mendesak Nga supaya mengundurkan diri.

Pada sidang akhbar semalam, Leong dan Leow mendakwa Nga tidak berunding dengan kepimpinan DAP Perak sebelum memutuskan PH Perak akan membuat keputusan muktamad mengenai status Paul Yong sebagai anggota kabinet negeri.

Leong ialah peguam Yong dan juga Adun Malim Nawar.

Yong kini sedang bercuti menjelang perbicaraan kes rogol yang dihadapinya.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu telah mengambil alih portfolio Yong yang berkaitan dengan perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, urusan bukan Islam dan hal ehwal kampung baru.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa DAP Perak mempertahankan Nga, berkata Leong dan Leow telah membuat tuduhan tidak berasas dan tidak wajar mendesak (Nga) untuk meletak jawatan hanya berdasarkan laporan media.

Jawatankuasa DAP negeri itu memetik video Nga memberitahu wartawan bahawa tiada kekosongan jawatan bagi menggantikan Yong dalam kerajaan negeri, kerana exco itu cuma bercuti.

Walau bagaimanapun, video yang sama menunjukkan Nga berkata: "PH akan membincangkan antara komponen partinya berdasarkan perkembangan terkini dan akan mengumumkan keputusan pada masa yang tepat".

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat mengatakan bila pengumuman itu akan dibuat.

Jawatankuasa DAP Perak berkata bersedia untuk bertemu Leow dan Leong pada bila-bila masa bagi menyelesaikan "salah faham" dan berharap mereka boleh "kembali ke dalam pasukan dan meletakkan kepentingan negara, parti dan rakyat sebagai keutamaan mereka."

Sementara itu, Leow mengeluarkan satu kenyataan balas terhadap Nga yang berkata akan mengambil tanggung jawab dalam hal ini.

Katanya, kenyataan Nga yang tidak berasas dan tindakan pengerusi DAP Perak itu tidak mencerminkan dakwaannya bahawa Yong tidak bersalah.

Leow turut mempertahankan pandangannya bahawa Nga telah berkata kedudukan Yong dalam kerajaan negeri akan dibincangkan PH Perak dan berkata ini menunjukkan motif tersembunyi.

Leow kemudian menyelar Nga dan penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham, menggelar mereka sebagai "diktator" dan orang ramai takut bersuara menentang Nga kerana bimbang dipecat atau dikenakan tindakan.

Dalam satu kenyataan semalam, Leow juga menuduh Nga memanipulasi peringkat kedua pemilihan parti DAP Perak tahun lalu, dengan memilih orang tertentu untuk mengisi kedudukan tertentu dalam parti.

Menurut perlembagaan parti DAP, semua ahli jawatankuasa yang dipilih akan mengambil bahagian dalam undi rahsia untuk menentukan siapa yang patut mengambil jawatan kepimpinan.

Leow, yang merupakan Adun Pokok Asam mendakwa ini bermakna jawatankuasa DAP Perak kini tidak sah.

Menjawab soalan ini, Jawatankuasa DAP Perak berkata pemilihan parti negeri tahun lalu mematuhi perlembagaan DAP dan telah diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan.

"Selain itu, Leow dan Leong memegang kedua-dua jawatan masing-masing sebagai penolong setiausaha penganjur dan pembantu bendahari selama lebih dari setahun tetapi hanya mempersoalkan kesahihan keputusan pemilihan parti apabila mereka mengumumkan peletakan jawatan mereka.

"Untuk ini, orang yang memahami kebenaran akan memahami (keadaan hanya dengan) sekilas (pandangan)," kata jawatankuasa tersebut.

[Baca berita penuh]