Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sokongan pada PAS merosot di Selangor, kata IDE
Diterbitkan:  Sep 12, 2019 5:05 PM
Dikemaskini: Sep 13, 2019 2:05 AM

Tahap sokongan yang diterima PAS di Selangor - salah satu negeri yang disasarkan parti itu untuk diperintah sebelum ini - menurun kira-kira 7 peratus berbanding sebelum PRU ke-14 lalu.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan tahap sokongan semasa kepada PAS menurun kepada 8 peratus berbanding 15 peratus pada Mei lalu, berdasarkan undi popular yang diterima parti berkenaan.

Kaji selidik itu bagaimanapun menjelaskan, kemerosotan itu tidak bermakna mereka sudah mengalih sokongan kepada PH atau Umno.

"Senario semasa menunjukkan mereka lebih cenderung memerhati perkembangan semasa untuk menentukan sokongan politik masing-masing seterusnya," kata Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya kaji selidik IDE juga mendapati sokongan terhadap PH dan BN tetap stabil seperti yang diberikan pengundi pada PRU yang lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam menjelang detik bersejarah buat PAS dan Umno apabila parti terbabit akan menandatangani piagam bersama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Umno mengadakan kerjasama dengan PAS selepas terlucut daripada kuasa di Putrajaya melalui PRU ke-14 pada tahun lalu. Ia juga dilangsungkan ketika sebahagian daripada parti komponen BN belum menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada piagam berkenaan.

Hari ini buat kali pertama bendera yang membawa logo PAS - bulan - berkibar dengan megah di PWTC yang juga ibu pejabat Umno Malaysia.

Khairul Arifin berkata sebelum PRU ke-14, sokongan dinikmati PAS di Selangor ialah kira-kira 12 peratus, namun ia melonjak 3 peratus lagi semasa pilihan raya dilangsungkan.

Namun begitu, katanya, ia menunjukkan penurunan hampir 8 peratus ketika kaji selidik itu dijalankan IDE.

Tertarik pada tawaran

Menurutnya keadaan itu ada kaitan dengan sikap penyokong dan pengundi PAS semasa PRU lalu.

"PAS kini hanya berjaya mengekalkan sokongan dalam kalangan kategori ahli-ahli tegar, sedangkan sokongan bagi kategori penyokong dan pengundi PAS pada PRU lalu mula menukar sikap terhadap parti tersebut," katanya.

Khairul Arifin menjelaskan ada tiga kategori untuk kumpulan yang memberikan sokongan PAS, iaitu ahli parti, penyokong dan pengundi.

Ahli PAS, katanya, merujuk kepada individu yang akan terus menyokong parti tersebut dalam apa jua keadaan.

Kedua, katanya, penyokong iaitu mereka yang bukan ahli PAS tetapi cenderung penyokong idealisme dan perjuangan parti tersebut.

"Ketiga, mereka bukan ahli atau penyokong PAS tetapi mereka mengundi parti tersebut atas sebab tersendiri atau tertarik dengan tawaran alternatif yang dikemukakan," katanya.

Menurut Khairul Arifin, data yang dibentangkan itu adalah sebahagian daripada dapatan berdasarkan Survei Persepsi Rakyat Selangor 2019: Mood Rakyat #Moodofthenation yang dijalankan oleh IDE pada 12 hingga 14 Julai lalu, melibatkan 2,851 orang responden dari semua 56 kawasan DUN di Selangor.

Katanya, responden terdiri daripada pelbagai kaum serta berbeza latar belakang, pendidikan, tempat tinggal dan lain-lain.

"Selain survei yang dijalankan, IDE juga mengadakan temuduga berkelompok dengan pelbagai kelompok bagi menentukan keabsahan dapatan," katanya.

Lihat Komen
ADS