Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Rakyat Rancangan Malaysia Ke-9 yang bakal memacu 'Misi Nasional' ke arah menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Berikutan itu, kerajaan pusat akan membelanjakan RM200 bilion sepanjang tempoh lima tahun akan datang untuk mempersediakan negara bagi menghadapi persaingan di peringkat global.

Beliau berkata RMK-9 merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk sebuah negara yang maju ekonominya, seimbang pembangunan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh.

Katanya, kerajaan mahu kemajuan yang dicapai dapat dinikmati oleh semua rakyat, secara saksama tanpa mengira agama dan kaum.

Dalam ucapan pembentangan RMK-9, yang bertemakan "Membina Tamadun Menjulang Martabat Bangsa", beliau berkata: "Kita mahu membina tamadun negara, seiring dengan kecemerlangan tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain, selaras dengan pendekatan Islam Hadhari."

Lima teras utama

Misi Nasional ini merupakan satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama, yang harus diambil bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Ia menggariskan lima teras yang tertumpu kepada bidang utama, yang akan membawa negara mencapai Wawasan 2020 iaitu:

* Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara.

* Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk "minda kelas pertama"

* Menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produkti

* Meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup

* Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Penjelasan

Teras pertama: Meningkatkan nilai tambah sektor ekonomi sedia ada, mewujudkan aktiviti berasaskan pengetahuan dan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, nanoteknologi dan perkhidmatan.

Di bawah teras ini kerajaan juga akan mewujudkan persekitaran kondusif bagi sektor swasta menerajui pembangunan ekonomi negara.

Teras kedua: Penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh dari peringkat pra-sekolah hingga ke peringkat tinggi dan vokasional selain mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pada masa yang sama penekanan akan diberi kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Teras ketiga: Membasmi kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama.

Teras keempat: Penekanan kepada aspek penyediaan keperluan asas seperti air, tenaga, perumahan dan pengangkutan selain menumpukan kepada soal penyenggaraan, penaiktarafan dan keberkesanan penggunaan sumber.

Teras kelima: Menuntut kerajaan komited kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam di semua peringkat di samping menangani isu rasuah dan integriti dalam sektor awam, swasta dan kalangan masyarakat umum.

Intipati RMK9

Universiti Darul Iman di Terengganu dan Univesiti Darul Naim di Kelantan akan dibina dalam RMK9.

Peruntukan RM1.15 bilion disediakan untuk menambahbaik kemudahan sekolah luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 180 sekolah rendah dan 229 sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh akan dibina di bawah RMK9

Matlmat pertumbuhan KDNK sebenara adalah pada kadar purata 6 peratus setahun.

Keluaran Negara Kasar (KNK) perkapita dijangka meningkat pada kadar purata 5.9 peratus setahun, mencedah RM23,573 pada 2010 manakala KNK perkapita dari segi pariti kuasa beli dijangka meningkat kepada AS$13,878 pada 2010.

RM690 juta disediakan untuk membina rumah guru, hampir separuh daripadanya untuk rumah guru luar bandar.

RM1.51 bilion disediakan untuk program pengkomputeran sekolah manakala RM284 juta diperuntukkan untuk program pembestarian sekolah.

Menjelang 2010, Malaysia mensasarkan kedatangan 24.6 juta pelancong setahun.

Program 'pertanian baru' akan dibangunkan mencakupi perladangan komersil berskala besar, penggunaan ICT dan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

RM11.4 bilion diperuntukkan kepada sektor pertanian.

Jambatan kedua Pulau Pinang akan dibina bagi merangsang pertumbuhan di kawasan berdekatan, merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak.