Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis siasat kes hina Raja Permaisuri Agong bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 11:14 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Polis akan menjalankan siasatan berhubung kes penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Twitter.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

"Siasatan kes itu dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Bukit Aman,” katanya seperti dilapor Sinar harian.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyahaktifkan akaun Twitter baginda @cheminahsayang, awal pagi semalam.

Walaupun tidak dapat dipastikan punca Raja Permaisuri Agong bertindak demikian namun tweet beberapa individu dikenal pasti penyebab Tuanku berbuat demikian.

Sejak semalam warga maya melancarkan kempen bagi ‘memujuk’ baginda supaya mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya.

Dengan tanda pagar #AmpunTuanku, warga maya merayu Tuanku Azizah yang begitu disenangi oleh seluruh lapisan masyarakat mengaktifkan semula akaun Twitter baginda.

Kempen itu menjadi tular sehingga carian ‘Permaisuri Agong’ menjadi trending nombor satu disusuli #AmpunTuanku yang menduduki tangga ketiga tweet paling banyak.

Selepas menerima kecaman warga maya, seorang pengguna Twitter Firdaus Asraf tampil membuat permohonan maaf kepada Raja Permaisuri sambil menyatakan bersedia mengadap Tuanku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS