Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di program pemuda Umno-PAS, wakil parti komponen bangun suarakan sokongan

Seorang demi seorang wakil pemuda komponen dan rakan BN dan Gagasan Sejahtera bangun selepas tamat sesi town hall anak muda di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, bagi menyatakan sokongan terhadap acara itu.

Wakil pemuda MCA, MIC, Ikatan dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menzahirkan sokongan mereka demi meraih semula kemenangan pada PRU akan datang.

Mereka berbuat demikian selepas diminta Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan salah seorang panelis sesi town hall itu.

Asyraf juga meminta mereka menyuarakan pandangan terhadap himpunan itu, yang kemuncaknya bakal menyaksikan Umno dan PAS memeterai piagam kerjasama.

Naib Ketua Pemuda MCA Yow Toh Gee mengimbas kembali hubungan baik parti tersebut dengan Umno.

"Terima kasih rakan kita jemput kami di sini, kami datang untuk beri sokongan kepada himpunan penyatuan ummah.

"Kami juga ingin tahu apakah suara anak muda kita pada masa akan datang. Saya rasa kita di sini boleh bekerjasama bersama pembangkang menuju PRU ke-15 untuk rampas semula Putrajaya," katanya.

Ketua Pemuda MIC R Thinalan pula menyifatkan parti itu sebagai "rakan setia BN" dan "kawan baru PAS".

"Kami bekerjasama dengan semua. Tak pernah kita soal berkenaan agama orang lain, kerana kita tahu dasar perjuangan kita," katanya sambil mengucapkan syabas kepada PAS dan Umno atas piagam tersebut.

Ketua Pemuda Ikatan Syahir Adnan pula menyifatkan penyatuan golongan muda dari Umno dan PAS akan membimbangkan Pakatan Harapan (PH), selain menempelak kritikan sesetengah pihak bahawa kerjasama kedua-dua parti itu akan meningkatkan lagi politik perkauman.

"Ini mewakili seluruh kaum di Malaysia, ini penyatuan nasional," katanya.

Himpunan hari ini antara lain menyaksikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man khutbah solat Jumaat di surau PWTC yang turut dihadiri pemimpin utama kedua-dua parti.

Piagam yang akan ditandatangani esok - selepas berbulan perbincangan antara kedua-dua parti - sekali gus membentuk "taawun siyasi" antara dua parti itu secara rasmi.

Khairil Nizam Khirudin

Terdahulu dalam sesi town hall hari ini, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin menggesa parti komponen BN agar bersuara jika piagam yang bakal dimeterai tidak menepati objektifnya kelak.

Katanya, jika ia tidak memperjuangkan keadilan berdasarkan Islam dan tidak memperjuangkan rakyat merentasi ideologi politik tetapi hanya menumpukan kepada soal orang Melayu, mereka boleh membuat demonstrasi bantahan di ibu pejabat PAS dan Umno.

"Tegur dan betulkan kami. Sebab jika permulaan kita telah dimulakan dengan langkah yang sumbang, kita akan berada dalam keadaan yang sumbang seperti kerajaan PH sekarang," katanya.

Selain itu, beliau turut menawarkan "resepi mengambil hati orang Melayu" yang menurutnya hanya dapat dilakukan melalui Islam.

"Kalau kamu nak perjuangkan kemenangan bangsa Melayu dengan menggunakan pendekatan liberal, kamu takkan menang dengan PKR.

"Kamu takkan menang dengan Bersatu (jika guna pendekatan seperti Bersatu), kamu kena faham resipi kejayaan untuk menarik hati orang Melayu adalah pada nama agamanya, Islam," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS