Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'GPS lebih suka sendiri daripada sertai parti Semenanjung'
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 10:32 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg berkata gabungan mereka lebih suka bergerak sendiri daripada menyertai mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia.

Abang Johari, yang juga Ketua Menteri Sarawak, dipetik Bernama sebagai berkata bahawa mereka kini memberi tumpuan kepada pembangunan negeri itu dan mahu memberi manfaat kembali kepada rakyat.

"Kami lebih suka sendiri. Sekiranya kita menjaga rumah kita dengan baik, ramai orang akan datang untuk melabur, " katanya seperti dilapor Bernama.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Centexs-SMA Safari 2019 di Kuching, Sarawak hari ini.

Kenyataan itu sebagai respons kepada kerjasama Umno dan PAS yang menyaksikan kedua-dua parti itu menandatangani piagam kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Mufakat Nasional Negara, hari ini.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN pada Mei 2018 dan seterusnya membentuk GPS, yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 19 Nov, 2018.

Terdahulu, PAS dan Umno hari ini memeterai Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra menandakan kerjasama rasmi kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

Lihat Komen
ADS