Kerajaan mencadangkan dua Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (BBPN2) untuk memantau projek-projek RMK9 yang mempunyai impak tinggi bagi rakyat dan memantau program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera Generasi Baru (MPPB2).

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Dewan Rakyat hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kedua-dua badan bertindak itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan keanggotaan yang disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara.

Badan-badan bertindak berkenaan akan disokong oleh sebuah Direktorat Pelaksanaan Negara (DPN) yang akan diangotai oleh pakar-pakar dalam pengurusan program dan projek.

Di samping itu, katanya, struktur dan halacara Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan disusun semula untuk memberi penumpuan kepada pelaksanaan program dan projek serta memastikan terdapat sistem penyampaian yang berkesan.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata ianya merupakan langkah khusus bagi memantapkan mekanisme pelaksanaan, pemantauan dan penilaian negara.

Bagi mengatasi masalah peraturan dan undang-undang yang melewatkan pembanguan, sebuah Jawatankuasa Bertindak Sektor Awam-Sektor Swasta akan ditubuhkan bagi mengkaji dan mengemukakan cadangan pindaan terhadap perkara-perkara tersebut.

Kerajaan memandang serius soal pelaksanaan RMK9 secara bersungguh-sungguh, cekap lagi berkesan dan meletakkan soal pengukuhan keupayaan institusi dan keupayaan pelaksanaan negara sebagai teras kelima RMK9.

Rangka peraturan

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengambil langkah penambahbaikan daripada segi struktur organisasi, kemudahan dan persekitaran kerja, mutu tenaga pekerja, rangka peraturan dan undang-undang.

Dengan langkah-langkah demikian, kerajaan berazam untuk memperbaiki prestasi perkhidmatan agensi barisan hadapan kerajaan serta meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan swasta terutamanya di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri berkata kejayaan pelaksanaan bukan sahaja bergantung kepada usaha sektor awam, malah institusi lain seperti sektor swasta, masyarakat sivil, Parlimen dan pihak media juga memainkan peranan penting.

Beliau berkata gabungan keupayaan setiap institusi tersebut akan menentukan tahap pencapaian negara baik daripada segi peningkatan ekonomi mahupun kemajuan sosial.

"Saya menekankan sekali lagi bahawa jentera pelaksanaan negara perlu diasaskan kepada sifat amanah dan integriti dalam meningkatkan akauntabiliti dan tahap urus tadbir di dalam negara," katanya.

Beliau berkata tanpa nilai integriti, negara tidak boleh dikatakan negara maju dalam erti kata sebenar, meskipun maju daripada segi ekonomi, sosial mahupun kualiti hidup.