Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: Kenapa harga rumah PPR Sarawak lebih tinggi?

Kerajaan Persekutuan masih belum menerima maklum balas daripada kerajaan negeri Sarawak berkenaan harga rumah Projek Perumahan Rakyat(PPR) yang dijual dengan harga lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata beliau telah meminta kerajaan negeri supaya menyelaraskan harga rumah berkenaan pada lawatannya ke negeri itu sebelum ini.

Zuraida berkata harga rumah PPR di Semenanjung adalah sekitar RM42,000 namun harga rumah yang sama di Sarawak adalah kira-kira 10 peratus lebih mahal.

“Tidak logik bila kita buat rumah dengan harga itu, kemudian harga itu dinaikkan, kemudian duit itu dia simpan…ini tidak betul . Tujuan kita bina rumah ini adalah untuk keperluan rakyat bila anda naikkan lagi harga, ia menyusahkan lagi rakyat.

“ Itu yang kita minta, tetapi sehingga sekrang mereka belum lagi respon balik kepada kementerian,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mendedahkan perkara berkenaan ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Sarawak, yang pertama kali diadakan, di Kuching, hari ini.

Ditanya mengenai mesyuarat khas Kabinet yang diadakan semalam, Zuraida berkata antara lain, setiap kementerian pada mesyuarat berkenaan diarahkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

“Kita sedang menyediakannya , bagi kemenerian kita memang tengah teliti lagi,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan harapan dan agenda baharu untuk masa depan Malaysia yang menjadi asas kepada penyatuan negara.

Wawasan itu menggariskan hasrat agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030.

- Bernama

Lihat Komen
ADS