BERITA Malaysiakini

Udara tak sihat, sangat tak sihat jejas hampir seluruh M'sia

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kuching, Sarawak merupakan salah satu dari tiga kawasan di negeri tersebut yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling buruk setakat jam 10 pagi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, Kuching mencatatkan IPU 247 manakala Samarahan 219 serta Sri Aman 219 - ketiga-tiganya dalam kategori sangat tidak sihat.

Johan Setia Klang dan Putrajaya turut merekodkan bacaan IPU pada kadar tidak sihat iaitu masing-masing pada 205 dan 203.

Pemerhatian lanjut pada 32 stesen pemantauan mencatatkan bacaan tidak sihat. Terdapat 68 stesen pemantauan seluruh negara.

Ini bermaksud, majoriti kawasan di Malaysia mempunyai bacaan tahap IPU yang tidak sihat.

Kawasan yang paling teruk terjejas ialah di Sarawak dan negeri-negeri selatan dan pantai barat Semenanjung Malaysia.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Selain itu, data Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) terus memperlihatkan kawasan titik panas di Kalimantan, Indonesia.

Menurut ASMC, setakat semalam terdapat 274 kawasan panas di Kalimantan dan 305 di Sumatra, dan tiada di Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Pengesanan ASMC menunjukkan jerebu di Malaysia Barat berasal dari Sumatera manakala jerebu di Malaysia Timur pula datang dari Kalimantan.