Sebuah kementerian khusus untuk kerajaan tempatan akan diwujudkan bagi membolehkan Kerajaan Pusat mengawal pentadbiran pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.

Beliau berkata, pada masa ini Kerajaan Pusat tidak boleh campurtangan dalam urusan kerajaan tempatan kerana ia dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan mahu pentadbiran PBT menjadi lebih efisien, sesuai dengan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Katanya, pada ini kerajaan menerima rungutan daripada wakil rakyat bahawa mereka sukar membantu menyelesaikan masalah penduduk kerana tidak mendapat kerjasama PBT.

"Kerajaan tempatan tidak kisah dengan wakil rakyat kerana mereka tahu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selalu bertukar ganti," katanya.

Penggerak utama

Menurutnya, kerajaan akan meminda beberapa akta bagi memastikan keberkesanannya.

Kayveas berkata, PBT sebenarnya sangat penting kerana mereka merupakan penggerak utama kepada kemajuan dan kemakmuran masyarakat terutama di kawasan bandar.

"Malangnya ada sesetengah kerajaan tempatan tidak mempunyai jentera penguatkuasaan dan penyelenggaraan yang baik sehingga menimbulkan rungutan di kalangan masyarakat," katanya lagi.

Beliau berkata, perkara ini berlaku kerana kerajaan tempatan mempunyai kuasa sendiri yang diberikan oleh kerajaan negeri menyebabkan mereka yang menentukan pentadbiran di kawasan terbabit.

Mengenai prestasi kerajaan tempatan secara keseluruhannya, Kayveas berkata, banyak PBT sudah menunjukkan perubahan dan mula menampakkan prestasi yang cemerlang.

"Majlis Perbandaran Kemaman, Kuantan dan Parit Buntar telah mendapat pelbagai anugerah kerana kecemerlangan mereka," katanya lagi.