Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Ada usaha lemahkan perpaduan, jangan benarkan
Diterbitkan:  Sep 16, 2019 9:43 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan sempena Hari Malaysia di Kuching malam ini menggesa rakyat Malaysia menentang usaha untuk memecahbelahkan mereka.

"Terdapat usaha-usaha untuk melemahkan perpaduan kita dan ia dilakukan oleh rakyat kita sendiri. Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara-perkara emosional terutamanya melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

"Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ia dekat di hati kita.

"Tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita dipengaruhi," katanya ketika berucap sempena sambutan hari Malaysia ke-56 bersama kerajaan negeri di Kuching Sarawak.

Menurut perdana menteri setelah bersama dalam keluarga besar Malaysia lebih lima dekad, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud untuk terus bersama mempertahankan perpaduan.

"Perbezaan pendapat antara kita adalah perkara biasa terutama apabila kita tidak lagi terancam.

"Ia perlu dirai dan dihargai, dan bukan dijadikan faktor perpecahan. Perbezaan pendapat ini perlu dibincang untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi kita semua," katanya.

Tambah beliau, jika rakyat Malaysia memahami bagaimana perpaduan sukar untuk dicapai, mereka tidak akan mengambil mudah perkara itu.

"Kita kenang dan hargai perjalanan berliku dan sukar yang ditempuhi rakyat terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat Persekutuan Tanah Melayu, disusuli pula usaha yang menyatukan di bawah negara Malaysia.

"Jika kita ingat apa yang mereka lalui, kita tidak akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama di antara rakyat, malahan kita akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu gugat perpaduan tersebut.

"Tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita bukan hanya tanggungjawab kerajaan persekutuan atau kerajaan Sabah dan Sarawak semata-mata tetapi tanggungjawab kesemua rakyat yang mengaku dirinya rakyat negara ini," ujarnya.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

Lihat Komen
ADS