Dr M bangkitkan kegagalan kembalikan status Sabah, S'wak
Kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama mengadakan sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan di Kuching, walaupun kedua-dua gabungan merupakan seteru politik.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyampaikan ucapan sempena majlis berkenaan, tetap membangkitkan kegagalan pindaan perlembagaan pada April lalu bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia.
Pindaan itu gagal memperoleh majoriti dua pertiga selepas GPS berkecuali dalam undian dengan mendakwa pindaan itu masih tidak memadai.
"Seperti yang kita semua maklum, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu, di Dewan Rakyat pada April lalu.
"Malangnya, Rang Undang-undang tersebut tidak mendapat sokongan majoriti dua-pertiga," katanya tanpa menamakan GPS.
Sambutan bersama sempena Hari Malaysia itu menyaksikan kehadiran pemimpin GPS yang menerajui Sarawak dan Pakatan Harapan serta Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.
Bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan persekutuan masih meneruskan usaha mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63.
Perdana menteri juga menyentuh persetujuan kerajaan untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah.
Dalam pada itu itu beliau berkata tema Hari Malaysia tahun ini: "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" bertujuan mengingatkan rakyat bahawa selain perpaduan yang rapuh, gejala rasuah turut mnendedahkan negara kepada kehancuran.
"Benar kita telah berjaya menyingkirkan kepimpinan yang tidak bersih tetapi itu tidak bermakna ia sudah terhenti dan tidak akan berulang lagi.
"Kerana itu kita perlu menekan pentingnya mengekal Malaysia yang bersih jika kita tidak mahu terjebak sekali lagi ke kancah rasuah skala kecil dan besar," katanya merujuk pentadbiran BN yang berkuasa selama 61 tahun.
Mahathir, dalam ucapannya, juga menegaskan mengenai "kemakmuran bersama' termasuk memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat.
Beliau juga menegaskan komitmen kerajaan untuk membentangkan Kertas Putih Pertahanan Negara bagi memastikan kesejahteraan Malaysia yang dikelilingi oleh tiga laluan utama – Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu .
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Mahathir atas komitmen kerajaan menyelesaikan isu-isu di negeri itu melalui jawatankuasa khas kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963.
"Sarawak memanjangkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu-isu ini.
"Saya dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berkeyakinan penuh perkara yang dibincangkan akan menemui penyelesaian menerusi jawatan kuasa khas MA63.
"Malaysia akan lebih kukuh dan padu atas persefahaman rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Sarawak akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
"Saya percaya kalau terdapat masalah ia dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan. Bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit," katanya.

