Malaysiakini BERITA

MTUC cadang k'jaan 'baiki' bidang kerja dianggap remeh

Ramieza Wahid

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar kerajaan memberi penekanan terhadap sektor pekerjaan yang tidak menjadi pilihan - atas pelbagai faktor - dalam usaha merapatkan jurang pendapatan seperti yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Presiden MTUC Halim Mansor memberikan pengawal keselamatan sebagai contoh yang menurutnya dianggap sebagai pekerjaan untuk pesara.

"Kerajaan boleh jadikannya satu profesion yang dilihat mempunyai masa depan. Perlu lihat faktor seperti latihan yang diberikan dan gaji.

"Jika tidak syarikat buat 'kerja mudah' dengan ambil orang yang sudah pencen atau pekerja asing," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, begitu juga dengan pekerjaan seperti tukang cuci sesetengah bidang 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang menurutnya menawarkan gaji rendah dan tiada perlindungan terhadap pekerja.

Halim turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan syarikat memberi kenaikan gaji tahunan kepada pekerja.

“Negara kita tiada akta yang menyatakan kenaikan gaji tahunan, yang hanya ada semakan gaji minimum setiap dua tahun.

“Undang-undang sahaja yang boleh buatkan majikan patuh untuk menjaga kebajikan pekerja,” katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan akan memberi penekanan terhadap usaha merapatkan jurang pendapatan.

Menurut Lim ia boleh dicapai melalui beberapa aspek, antaranya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pemberian gaji munasabah.

Selain itu, Halim turut mencadangkan dua kementerian, iaitu pendidikan dan sumber manusia, memberi latihan kepada siswazah bagi meningkatkan nilai mereka dalam pasaran kerja.

"Beri mereka pendedahan untuk kerja dan timba pengalaman (dalam kementerian atau agensi berkaitan) selama setahun.

"Ini berbeza dengan latihan praktikal ketika di universiti, apatah lagi tak semua berpeluang menyertai praktikal," katanya lagi.