Terjemahan Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 'tidak ada gigi' dianggap sebagai angkuh dan "memalukan".

Pesuruhanjaya Suhakam, Prof Mohd Hamdan Adnan berkata suruhanjaya itu bukan ditubuhkan oleh kerajaan, tetapi oleh Parlimen.

Oleh itu, tegasnya, kenyataan Nazri bahawa Suhakam hanya ditubuhkan sebagai 'satu hiasan' memberi gambaran yang buruk terhadap kerajaan pada hari ini.

"Kenyataannya itu tidak wajar samasekali kerana (beliau) sebenarnya memberitahu rakyat bahawa Suhakam hanya hiasan semata-mata. Ianya tidak baik untuk kerajaan. Saya harap beliau tidak bercakap bagi pihak kerajaan," katanya.

Hamdan menegaskan demikian ketika mengulas kenyataan Nazri di Parlimen awal minggu ini bahawa kerajaan tidak pernah "bercadang untuk memberi sebarang kuasa" kepada Suhakam.

Malah, kata Hamdan, Nazri telah bersikap angkuh apabila mengatakan yang Suhakam tidak akan diberi kuasa seumpama itu, kerana bukan beliau (Nazri) atau kerajaan yang boleh memutuskan perkara tersebut.

"Itu bergantung kepada keadaan yang wujud, dan akhirnya terpulang kepada Parlimen untuk memutuskannya, bukannya kerajaan. Parlimen mempunyai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Undang-undangnya diwujudkan oleh Akta Parlimen, dan bukannya kerajaan," tambahnya.

Sebelum ini, Suhakam telah menegaskan bahawa suruhanjaya itu akan mencadangkan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 untuk mendapatkan kuasa memantau dan kuasa kuasi-kehakiman.

Tidak menuntut lebih kuasa

Bagaimanapun, kata Hamdan, Suhakam tidak akan tergesa-gesa untuk menuntut lebih banyak kuasa dan tanggungjawab sebagai tambahan kepada yang diamanahkan kepadanya sekarang.

"Kuasa yang telah diberi kepada Suhakam adalah setanding dengan kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa yang menjalankan penyiasatan. Kami diberi kuasa.... untuk sapina, dan sebagainya. Misalnya, pihak polis pun tidak boleh enggan menjawab soalan kami. Ini terdapat dalam undang-undang," katanya.

Fungsi lain seperti penguatkuasaan dan pendakwaan, kata Hamdan, boleh dijalankan oleh agensi-agensi yang lain, kerana menurutnya, keadaan negara yang "tenang" tidak memerlukan Suhakam diberi kuasa-kuasa seumpama itu.

"Kita belum sampai ke peringkat itu kerana sejarah kita adalah tenang berbanding dengan negara-negara yang telah memberi kuasa kepada suruhanjaya hak asasinya (untuk mengendalikan) mahkamah hak asasi manusia," katanya.

'Mengecewakan'

Seorang lagi Suruhanjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam juga menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan Nazri itu.

"Kita mengharapkan kenyataan yang positif dan mengalakkan dari para menteri seperti Nazri, bukannya kenyataan seperti itu. Kita harap, di masa hadapan, beliau akan bersikap lebih positif," kata Siva.

Katanya, kesedaran yang semakin meningkat mengenai hak asasi manusia di kalangan rakyat dan kakitangan awam seperti pegawai polis serta keadaan penjara dan lokap yang semakin baik sejak kebelakangan ini, adalah bukti keberkesanan Suhakam dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Malah, katanya, kesediaan rakyat dan pelbagai kumpulan yang terus menerus datang menemui Suahakam, menunjukkan bahawa mereka yakin dengan kemampuan Suhakam menjalankan tugasnya.

"Sebaik-baiknya di masa hadapan, kita diberi kuasa penguatkuasaan, tetapi buat masa ini, kita mengendalikan terlalu banyak kes-kes.

"Hari ini, rakyat di seluruh negara menghormati Suhakam. Pada akhirnya, penghakiman rakyatlah yang lebih penting, bukannya oleh ahli politik," katanya. Berita asal