Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aneh, di era M'sia baru saya kena panggil polis - Bekas duta

Bekas besar duta Dennis Ignatius menyifatkan tindakan polis memanggilnya untuk direkod kenyataan berhubung artikelnya terhadap pendakwah Dr Zakir Naik merupakan suatu hal yang ironi kerana berlaku pada era Malaysia Baru.

Beliau berkata, sepanjang sepuluh tahun berkecimpung dalam penulisan, beliau tidak pernah dipanggil oleh pihak polis berikutan artikel yang ditulisnya, meski pun ketika "zaman gelap" pentadbiran Najib Razak.

"Saya rasakan cukup aneh, secara jujurnya sepanjang 10 tahun yang saya menulis, saya tidak pernah dipanggil ke balai polis untuk memberi kenyataan.

"Malah pada zaman kegelapan semasa pentadbiran Najib, saya tidak pernah dipanggil (polis) dan saya terkejut.

"Saya fikir begitu ironik bahawa di era Malaysia Baru ini, saya kini dipanggil polis untuk memberikan kenyataan mengenai laporan yang difailkan oleh pelarian (fugitive).

"Dia (Zakir) seorang pelarian, saya tidak memanggilnya seperti itu tetapi itulah yang digambarkan," katanya kepada pemberita selepas direkod keterangannya di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Namun katanya, pihak polis menjalankan tugas dengan profesional sewaktu disoal siasat.

"Tentulah polis hanya menjalankan tugasnya, saya faham hal itu," katanya lagi.

Polis merekod keterangan Ignatius selama hampir tiga jam dari jam 2.45 petang hingga 5.30 petang tadi.

Beliau dipanggil berikutan artikelnya pada ruangan kolum di portal FMT pada 13 Ogos mengenai pengaruh Zakir yang semakin meluas susulan daripada beberapa kenyataan yang dibuat oleh pendakwah itu, yang didakwa memecahbelahkan kaum Cina dan India di negara ini.

Ignatius merupakan salah seorang daripada lima individu yang namanya dinyatakan dalam laporan polis Zakir untuk dipanggil merekod keterangan.

Bulan lepas, Zakir memfailkan laporan itu terhadap mereka atas dakwaan fitnah.

Ignatius menambah, beliau turut menyerahkan 28 muka surat kenyataan termasuk artikel dari Kanada, India, Bangladesh dan beberapa negara lain yang menggambarkan Zakir serta kenyataan yang turut dikeluarkan oleh beberapa menteri di negara ini mengenai pendakwah berasal dari India itu.

Katanya, beliau tidak ada niat jahat dalam penulisan itu dan cuma menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin.

Jelasnya, kenyataan yang dikemukakan kepada polis itu juga menunjukkan bukanlah beliau seorang sahaja yang memberikan pandangan sedemikian tetapi ia merupakan pandangan yang turut sama dikongsi oleh ramai lagi rakyat Malaysia.

Sementara itu, peguamnya Annou Xavier berkata mereka mendapati terdapat lebih dari 300 laporan polis yang dibuat terhadap Ignatius dari seluruh negara.

"Kami dimaklumkan oleh polis yang terdapat 300 laporan polis dibuat terhadap Datuk Dennis Ignatius di seluruh negara, bukan sahaja di Kelantan.

"Datuk telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada polis. Beliau disiasat bawah Seksyen 499 dan 500 atas kesalahan memfitnah," katanya.

Selain Ignatius, empat lain merupakan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; dan Adun Bagan Dalam M Satees.

Menurut laporan polis Zakir, yang dilihat oleh Malaysiakini, pendakwah kontroversi itu menuduh lima individu berkenaan memfitnahnya dalam kenyataan dan artikel mereka.

Lihat Komen
ADS