Stesen radio RTM berbahasa Cina, aiFM telah diarahkan oleh Kementerian Penerangan supaya menyiarkan lagu patriotik dan lagi puisi dalam bahasa Melayu setiap satu jam ketika siarannya ke udara.

Stesen aiFM ke udara selama lapan jam setiap hari. Berikutan itu, mulai Sabtu lalu, stesen berkenaan telah mula menyiarkan lagu-lagu berkenaan mengikut masa yang diarahkan.

Masa lagu-lagu patriotik disiarkan pada jam 9.10 pagi, 1.10 tengah hari, 7.10 malam dan 9.10 malam.

Manakala lagu-lagu puisi pula disiarkan pada jam 7.10 pagi, 11.10 pagi, 5.10 petang dan 11.10 malam.

Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau memetik Pengarah aiFM, Lee Yuet Siu sebagai berkata pada kebiasaanya lagu-lagu patriotik dan puisi itu disiarkan selepas berita.

Bagaimanapun, katanya, adakalanya berlaku perubahan tetapi pihaknya tetap menyiarkannya mengikut peraturan setiap satu jam.

Lagu 'Burang Kakak Tua'

Bagi siaran pada hari Ahad pula, lagu 'Burung Kakak Tua' dimainkan sewaktu program kanak-kanaknya ke udara.

Pada masa ini, beliau berkata, pihaknya tidak pasti mengenai respons para pendengar stesen berkenaan terhadap arahan baru itu.

Bagaimanapun, menurut akhbar berkenaan, pemimpin masyarakat Cina yang lain berpendapat, RTM sepatutnya memainkan lagu-lagu patriotik dalam pelbagai bahasa, dan bukannya dihadkan kepada bahasa Melayu sahaja.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan supaya lagu-lagu patriotik Melayu turut diterjemahkan ke dalam bahasa lain.

Ketua Dewan Perhimpunan Cina Malaysia, Datuk Seri Lim Gait Tong berpendapat, tidak sepatutnya dipendekkan masa siaran radio dalam bahasa Cina itu dengan terlalu kerap menyiarkan lagu-lagu dalam bahasa lain.

Bagaimanapun, beliau bersetuju lagu-lagu patriotik dimainkan dan mencadangkan supaya cara lain dicari untuk menyelesaikan perkara tersebut untuk faedah bersama.