Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang akan ditandatangani di antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan memberi kesan buruk kepada negara ini khususnya dalam bidang ekonomi, kata seorang pakar undang-undang.

Penasihat undang-undang Third World Network yang berpusat di Pulau Pinang, Sanya Reid Smith berkata, FTA itu boleh disifatkan sebagai penjajahan ekonomi oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia..

Katanya, Amerika bukan sahaja akan menguasai ekonomi dalam bidang pertanian, perindustrian dan perkhidmatan tetapi dalam sektor strategik seperti keselamatan dan pendidikan.

"Kesannya amat buruk iaitu ekonomi Malaysia akan dikuasai oleh pedagang Amerika Syarikat dan akibatnya negara ini akan menjadi muflis kerana terpaksa mengikut segala kehendak negara besar itu.

"Syarikat dari Amerika akan mengenakan pelbagai syarat dan tekanan kepada negara ini dan akibatnya banyak kilang akan ditutup kerana tidak dapat bersaing dengan produk negara itu.

"Malaysia akan kehilangan sumber kewangan kerana cukai tarif yang dikenakan ke atas barangan Amerika Syarikat yang ingin memasuki pasaran tempatan dihapuskan," katanya ketika menyampaikan ceramah dalam forum bertajuk Ekonomi Getah Nangka di ibu negara semalam.

Forum anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) bertujuan untuk memberi penerangan secara lebih mendalam mengenai kesan dan akibat FTA dengan Amarika, terhadap ekonomi negara. Hadir sama dalam forum tersebut semalam ialah Pengerusi Teras, Mohd Azmi Hamid; Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

FTA dengan Jepun

Minggu lalu Malaysia telah memulakan rundingan dengan Amerika untuk membolehkan kedua-dua negara menandatangi FTA. Sebelum ini Malaysia telah menandatangani FTA dengan Jepun.

Sanya berkata, syarikat dari Malaysia tidak boleh bersaing dengan firma Amerika yang lebih besar, berpengalaman dan penggunaan teknologi moden.

Katanya, di bawah FTA tidak akan ada pemindahan teknologi dari Amerika Syarikat ke negara ini kerana kerana di bawah perjanjian itu ia tidak mensyaratakan perkara demikian.

"Jika kilang tempatan menutup operasi, kerajaan tidak boleh memberi latihan semula seperti yang dilakukan sekarang dan ini menyebabkan berlaku pengangguran di kalangan penduduk negara ini," katanya.

Sanya berkata, melalui FTA, kerajaan Malaysia terpaksa membuka kontrak kepada syarikat dari Amerika dalam semua bidang dan ini boleh membunuh usahawan tempatan kerana tidak dapat bersaing dengan mereka.

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020 yang dihasratkan oleh kerajaan tidak akan berjaya kerana penentu ekonomi Malaysia adalah orang asing khususnya Amerika dan Jepun," katanya lagi.

Menurutnya, Malaysia mahu membuat perjanjian FTA dengan Amerika kononnya untuk membolehkan produk dan syarikat tempatan meneroka pasaran negara itu, tetapi produk keluaran Amerika lebih murah kerana mendapat subsidi kerajaan dan lebih berkualiti.

Beliau berkata, Malaysia juga terpaksa bersaing dengan negara Asean lain untuk memasarkan produk yang sama di Amerika.